Gajah 'Pian', 'Lepar' tarikan pengunjung Hari Terbuka Putrajaya

Gajah ‘Pian’, ‘Lepar’ tarikan pengunjung Hari Terbuka Putrajaya

ORANG ramai melihat pelbagai haiwan dipamerkan pada Hari Terbuka Putrajaya 2026 di Dataran Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kehadiran dua ekor gajah bernama Pian dan Lepar bakal mewarnai Hari Terbuka Putrajaya 2026 yang dibawa khas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selama empat hari bermula hari ini di Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Haiwan liar yang sering mencuit hati dengan aksi ‘kemanusiaan’ itu memberi peluang kepada generasi muda, khususnya kanak-kanak yang membesar di Pusat Pentadbiran Kerajaan di sini untuk mengenali dan menghargai hidupan liar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, acara tersebut menyasarkan kehadiran kira-kira 200,000 pengunjung dengan menghimpunkan sebanyak 500 pempamer dan reruai jualan melibatkan kementerian dan agensi kerajaan serta sektor swasta.

“Hari ini kita turut melancarkan laman web pelancongan Putrajaya bagi mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan bandar, rekreasi dan acara. Selain itu, pelancaran aplikasi mudah alih Putrajaya sebagai platform digital bersepadu memudahkan orang ramai untuk mengakses maklumat dan perkhidmatan bandar.

“Selain itu, laman web Local Agenda (LA21) turut dilancarkan bertujuan memperkukuhkan penglibatan komuniti dan tadbir urus mampan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Putrajaya 2026 di sini hari ini.

Hannah berkata, Putrajaya bukan sekadar tempat penjawat awam bekerja, tetapi juga tempat mereka membina kehidupan, justeru, ia perlu diwujudkan aktiviti yang sesuai untuk generasi muda dan keluarga.

Hari Terbuka Putrajaya 2026 menawarkan pelbagai pengisian merangkumi perkhidmatan oleh sektor awam, pameran pelancongan berskala besar, program pendidikan dan kerjaya, aktiviti keluarga dan rekreasi, pameran kreatif, zon makanan dan minuman serta persembahan pentas serta inisiatif Jom Masuk U. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN