494 tapak kawasan hijau, lapang di ibu negara diwartakan

494 tapak kawasan hijau, lapang di ibu negara diwartakan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh (tengah) bergambar bersama wakil penduduk ketika sidang media berkaitan data terbuka : senarai kawasan hijau dan kawasan lapang yang telah diwartakan di Wilayah Persekutuan di Taman Rimba Bukit Kerinchi hari ini. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 494 tapak kawasan hijau dan lapang yang telah diwartakan di Kuala Lumpur didedahkan kepada umum menerusi pelaksanaan data terbuka.

Pendedahan itu antara langkah memperkukuh ketelusan serta penyertaan awam dalam perlindungan ruang hijau bandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, buat pertama kali senarai penuh kawasan hijau dan kawasan lapang yang telah diwartakan di ibu negara diterbitkan secara dalam talian dan boleh diakses orang awam menerusi portal rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP).

“Pelaksanaan data terbuka ini adalah satu reformasi penting bagi memperkukuh ketelusan dan penyertaan awam. Orang ramai kini boleh mengakses senarai kawasan hijau dan kawasan lapang yang telah diwartakan melalui ikon MyHijau di laman web rasmi PPTGWP.

“Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi yang telah lama disuarakan oleh masyarakat sivil dan gabungan persatuan penduduk, yang dibangkitkan semasa sesi libat urus bersama mereka pada 20 dan 21 Januari lalu.

“Selama bertahun-tahun komuniti di Kuala Lumpur menuntut akses maklumat yang lebih jelas berkaitan kawasan hijau dan kawasan lapang supaya warga kota dapat menikmati, memelihara serta melindungi ruang berharga itu secara aktif,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Rimba Bukit Kerinchi, hari ini.

Hannah berkata, dalam konteks bandar yang pesat membangun, kawasan hijau dan lapang memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai ruang rekreasi, malah menyokong kesejahteraan penduduk dan menghubungkan komuniti.

“Kawasan hijau dan lapang juga menjadi komponen kritikal dalam meningkatkan daya tahan iklim bandar. Ketika Kuala Lumpur bergerak ke arah menjadi bandar yang mengurus air hujan secara pintar, setiap ruang hijau amat bermakna. 

“Tanpa pewartaan yang jelas, kawasan ini terdedah kepada pelupusan hak milik dan penukaran guna untuk tujuan lain,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini sebanyak 494 tapak kawasan hijau dan kawasan lapang yang telah diwartakan telah diterbitkan secara dalam talian, manakala usaha sedang dijalankan bagi melengkapkan proses pewartaan bagi baki tapak yang masih ada.

“Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah menubuhkan Pasukan Petugas Khusus Pewartaan Kawasan Lapang dan Hijau bagi mengenal pasti jurang teknikal, memperkukuh penyelarasan antara agensi serta memastikan proses pewartaan semua baki tapak dapat disempurnakan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Save KL, Datuk M. Ali menyifatkan pendedahan data itu sebagai satu langkah besar ke hadapan dari segi akauntabiliti dan perlindungan alam sekitar, selain menghargai tindakan pantas kerajaan dalam memenuhi tuntutan masyarakat sivil.

Sementara itu, gabungan persatuan penduduk KLRA+SD yang mewakili lebih 74 persatuan di seluruh Kuala Lumpur turut menyambut baik pengumuman tersebut dan menyifatkannya sebagai reformasi bermakna yang mampu mengembalikan keyakinan penduduk terhadap komitmen kerajaan dalam menjaga kepentingan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN