BESUT: Seorang warga emas terkejut apabila seekor gajah sesat ‘singgah’ di depan rumahnya di Kampung Tasik Pasir Akar, Hulu Besut, di sini semalam.
Mohd. Noor Majid, 61, berkata, melalui kamera litar tertutup (CCTV), dia melihat secara jelas haiwan terbabit berulang-alik di depan pintu rumahnya sebelum bergerak ke kawasan belakang.
“Ketika sedang menonton televisyen, anak memaklumkan ada gajah di kawasan rumah. Pada awalnya saya tidak percaya kerana lebih 60 tahun saya tinggal di sini, tidak pernah gajah masuk kampung.
“Tidak lama kemudian orang ramai mulai memenuhi di sekitar rumah saya kerana melihat kelibat gajah yang berkeliaran di kawasan kebun kelapa sawit dan sawah padi di sekitar sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Tasik Pasir Akar.
Menurut Mohd. Noor, keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana gajah berkenaan bolkeh bertindak di luar jangkaan seperti merosakkan harta benda.
Bagaimanapun, dia lega selepas gajah tersebut ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, gajah jantan tersebut ditangkap kira-kira pukul 9.00 pagi semalam oleh anggotanya.
“Perhilitan menerima laporan tentang kehadiran mamalia ini pada 5 Mac lalu yang dikatakan berkeliaran di sekitar Kampung Keruak dan Kampung Pasir Akar.
“Kehadiran gajah liar ini dikhuatiri boleh memberi ancaman kepada orang ramai, Susulan itu tindakan dilakukan dan gajah berkenaan dapat ditangkap,” katanya. – UTUSAN










