Exco Pertanian diperkenan mengadap Sultan Selangor esok - Utusan Malaysia

Exco Pertanian diperkenan mengadap Sultan Selangor esok

Rumah ibadah tak sah
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima mengadap Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Ir. Izham Hashim esok bagi menyembah maklum dan membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung isu penternakan babi di Kuala Langat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih keprihatinan Sultan Sharafuddin berkenaan isu tersebut melalui kenyataan media, semalam.

Katanya, sebagai latar belakang utama isu yang berlegar, MMKN terdahulu telah mengambil keputusan supaya syarat pengoperasian industri penternakan babi di Selangor diperketat berasaskan keutamaan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab supaya tidak memberikan kesan negatif terhadap sistem saliran.

“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira kesemua aspek termasuk pandangan agensi teknikal bagi memuktamadkan isu yang berlarutan setelah belasan tahun.

“Di samping menjaga sensitiviti masyarakat, inisiatif ini amat penting untuk memelihara keadaan kesihatan komuniti, alam sekitar dan sistem saliran serta mengelakkan pencemaran bau supaya industri ini dapat beroperasi secara lebih selamat tanpa memberi kesan sampingan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi peternakan babi secara besar-besaran di negeri ini.

Sultan Selangor menzahirkan perasaan tidak setuju dengan keputusan kerajaan negeri membabitkan operasi peternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini sebelum dipindahkan ke kawasan Bukit Tagar pada 2030.

Amirudin berkata, seperti yang diperincikan Izham dalam sidang akhbar pada 8 Januari lalu, langkah diambil merupakan inisiatif lebih tersusun dalam rangka usaha memastikan isu sensitif ini ditangani secara berhemah, menyeluruh serta berkesan dalam menangani isu alam sekitar.

Katanya, ia juga mengimbangi keperluan komuniti, memperketat aspek kawalan ke arah penyelesaian jangka sederhana dan panjang yang lebih sistematik.

“Mewakili kerajaan negeri menjunjung tinggi kecaknaan, nasihat serta pedoman Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan mendoakan Tuanku terus dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan untuk terus membimbing dan menaungi negeri ini dengan penuh hikmah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN