PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada 2026 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan pada 4.5 peratus, berada di paras atas julat sasaran kerajaan, meskipun persekitaran global terus dibayangi ketidaktentuan.
Standard Chartered Global Research berkata, prospek itu disokong oleh permintaan domestik yang stabil, inflasi yang kekal terkawal serta momentum pelaburan yang berterusan.
“Bagi 2025, unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia turut disemak naik kepada 4.7 peratus daripada 4.2 peratus sebelum ini, dipacu oleh aktiviti eksport yang dipercepatkan serta pemulihan sektor perlombongan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam laporan tinjauan ekonomi 2026 bertajuk An Uneasy Calm, pasukan penyelidikannya menjangkakan perbelanjaan isi rumah Malaysia kekal stabil, disokong oleh pasaran buruh yang sihat.
Namun, sumbangan eksport kepada pertumbuhan dijangka sederhana apabila aktiviti eksport kembali normal, sejajar dengan risiko perdagangan global yang masih berterusan.
Mengulas lanjut, Standard Chartered berkata, inflasi pula dijangka kekal benign dengan unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi 2026 diturunkan kepada 1.7 peratus berbanding 2.3 peratus sebelum ini.
“Dalam persekitaran tersebut, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, dengan ketidaktentuan tarif global dikenal pasti sebagai risiko penurunan utama kepada pertumbuhan ekonomi.
“Dari sudut fiskal, kerajaan dijangka meneruskan usaha konsolidasi dengan defisit fiskal diunjurkan menyusut kepada 3.5 peratus daripada KDNK pada 2026 berbanding 3.8 peratus pada 2025. Nilai ringgit juga dijangka kekal disokong oleh asas ekonomi domestik yang positif dan berpotensi mengatasi prestasi mata wang Asia berpulangan rendah,” katanya.
Sementara itu, pertumbuhan global pada 2026 diunjurkan kekal kukuh pada kadar 3.4 peratus bagi kebanyakan ekonomi utama, namun Standard Chartered berpandangan tahun tersebut akan menjadi fasa peralihan daripada dasar monetari kepada dasar fiskal, serta daripada pertumbuhan berasaskan eksport kepada pertumbuhan yang semakin dipacu oleh permintaan domestik, khususnya pelaburan.
Menurut laporan itu, walaupun pertumbuhan global kelihatan stabil, risiko terhadap prospek ekonomi kekal tinggi berikutan ketidaktentuan dasar perdagangan, ketegangan geopolitik serta kebimbangan terhadap pembetulan pasaran kewangan, yang meningkatkan kebarangkalian berlakunya kejutan ekonomi berskala besar.
“Bagi Asia, pertumbuhan ekonomi negara berorientasikan eksport pada 2025 didapati lebih kukuh daripada jangkaan, disokong oleh aktiviti eksport yang dipercepatkan ke Amerika Syarikat (AS).
“Namun, sokongan ini dijangka berkurangan pada 2026 apabila aktiviti tersebut semakin pudar, selain faktor ketidaktentuan politik yang berpotensi menjejaskan pertumbuhan di beberapa negara seperti Thailand dan Filipina,” katanya.
Walaupun pertumbuhan Asia dijangka sederhana pada 2026 berbanding 2025, rantau ini masih kekal sebagai wilayah dengan pertumbuhan terpantas di dunia.
Bagi AS, Standard Chartered menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara itu bagi 2026 kepada 2.3 peratus daripada 1.7 peratus, disokong oleh pelaburan perniagaan yang kukuh, perbelanjaan yang berdaya tahan, pemotongan cukai korporat serta peningkatan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Di China pula, unjuran pertumbuhan ekonomi 2026 disemak naik kepada 4.6 peratus daripada 4.3 peratus, manakala pertumbuhan 2025 dijangka mencapai 4.9 peratus.
Walaupun kebimbangan terhadap kesan dasar perdagangan AS terhadap eksport China setakat ini didapati terhad, risiko hubungan perdagangan antara kedua-dua negara kekal tinggi, terutamanya menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS. –UTUSAN










