Festival Gema Raya Putrajaya 2026 meriah bersama Lotus’s, Proton

Festival Gema Raya Putrajaya 2026 meriah bersama Lotus’s, Proton

LOTUS’S menjadi penganjur utama pada festival Gema Raya Putrajaya 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYERTAAN Lotus’s Malaysia dalam festival Gema Raya Putrajaya 2026 @PICC (Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya) sebagai penaja utama mencerminkan komitmen rangkaian pasar raya besar terkemuka itu untuk terus mendekati pelbagai lapisan komuniti sambil meraikan kemeriahan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Pengurus Besar Lotus’s Malaysia Cawangan Kajang, Noor Rita Kamaruzaman berkata, Lotus’s sentiasa komited untuk menyokong inisiatif yang mengeratkan hubungan antara masyarakat melalui pelbagai aktiviti dan program yang mendekatkan lagi jenama itu dengan pelanggan.

NOOR RITA KAMARUZAMAN

“Festival Gema Raya Putrajaya merupakan platform yang sangat sesuai untuk orang ramai membuat persiapan bagi menyambut hari raya bersama komuniti sambil mempromosikan nilai kekeluargaan dan perpaduan.

“Dengan tempoh 33 hari, festival ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan pelbagai promosi dan menyertai aktiviti disediakan. Lotus’s melihat peluang ini untuk lebih dekat dengan pelanggan, memberi inspirasi gaya hidup sihat serta menyokong penganjuran acara yang menyatukan komuniti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Gema Raya Putrajaya 2026 @PICC yang berlangsung selama 33 hari sejak 15 Februari lalu sehingga 19 Mac depan menghimpunkan lebih 230 vendor daripada pelbagai segmen termasuk fesyen, aksesori, makanan serta produk perusahaan kecil dan sederhana (IKS).

Festival yang dibawakan oleh penganjur, Raydiates Blue Sdn Bhd itu menggabungkan pengalaman membeli-belah, aktiviti komuniti serta pengisian rohani kepada para pengunjung.

Noor Rita berkata, sepanjang festival itu berlangsung, reruai Lotus’s menawarkan antara 100 hingga 120 produk termasuk barangan keperluan harian serta produk makanan dengan tawaran promosi sehingga 40 peratus sepanjang Ramadan.

Jelasnya, selain jualan produk dan makanan sedia dimakan bagi memudahkan pengunjung mendapatkan hidangan segera untuk berbuka puasa, Lotus’s turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk para pelanggan termasuk sesi mencuba produk dan demonstrasi masakan bersama chef jemputan yang berkongsi resipi mudah, sihat serta sesuai disediakan untuk seisi keluarga.

“Melalui penyertaan ini, kami berharap Lotus’s bukan sahaja dilihat sebagai penaja, tetapi menjadi platform yang menghimpunkan komuniti untuk bersama-sama meraikan Ramadan dan hari raya yang bakal menjelang, di samping memudahkan mereka membuat persiapan membeli-belah,” ujarnya.

Menurut Noor Rita, beberapa inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut dilaksanakan termasuk pengagihan ‘Go Green Bag’ bagi menggalakkan gaya hidup mesra alam serta penyampaian bakul makanan kepada golongan memerlukan.

Katanya, sambutan pengunjung terhadap penyertaan Lotus’s di festival berkenaan juga amat memberangsangkan dengan kehadiran pengunjung bukan sahaja dari Putrajaya malah dari kawasan luar termasuk Selangor.

“Inisiatif ini selaras dengan komitmen Lotus’s untuk terus menyokong komuniti. Kami berharap usaha ini dapat memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Penyertaan Proton Holdings Berhad dalam festival Gema Raya Putrajaya 2026 @PICC juga platform terbaik mendekatkan teknologi kenderaan elektrik (EV) kepada orang ramai, khususnya komuniti di Putrajaya.

Menerusi penyertaan itu, pengunjung bukan sahaja berpeluang melihat dengan lebih dekat model EV terkini Proton, malah berpeluang memandu uji kenderaan berkenaan sepanjang festival berlangsung.

Timbalan Ketua Pemasaran Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), Ng Li Lian berkata, festival itu memberi ruang kepada Proton untuk berkongsi pengalaman teknologi EV dengan masyarakat dalam suasana santai dan mesra keluarga.

NG Li Lian menunjukkan kereta elektrik Proton eMas-7 PHEV pada festival Gema Raya Putrajaya 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – utusan/FAISOL MUSTAFA

“Gema Raya merupakan satu platform yang menghimpunkan masyarakat sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri. Kami melihatnya sebagai peluang mendekatkan jenama Proton kepada orang ramai,” katanya.

Li Lian berkata, menerusi festival itu, Proton mempamerkan dua model EV iaitu Proton e.MAS 5 dan Proton e.MAS 7 PHEV.

Katanya, selain acara pameran dan sesi pandu uji, Proton turut bekerjasama dengan penganjur festival dengan menawarkan sebuah EV Proton e.MAS 5 untuk dibawa pulang sebagai hadiah utama bagi acara cabutan bertuah.

Jelasnya, model tersebut mencatat prestasi jualan memberangsangkan apabila merekodkan lebih 5,000 unit jualan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

“Pengunjung dialu-alukan hadir untuk merasai pemanduan kereta elektrik Proton. Mereka juga berpeluang menyertai cabutan bertuah bagi memenangi Proton e.MAS 5 dengan hanya mengimbas kod QR dan menggunakan baucar disediakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN