SETIAP petang, bazar Ramadan dipenuhi lautan manusia. Deretan gerai menjual pelbagai juadah, daripada yang tradisional sehinggalah yang moden dan tular.
Media sosial pula tidak henti-henti memaparkan menu berbuka, promosi raya dan trend terkini.
Tanpa sedar, Ramadan yang sepatutnya melatih kesederhanaan bertukar menjadi musim peningkatan perbelanjaan.
Ironinya, ketika waktu makan berkurang, perbelanjaan makanan meningkat. Meja berbuka yang sepatutnya sederhana kadangkala sarat dengan hidangan yang akhirnya tidak habis dijamah.
Pembaziran berlaku bukan kerana tidak cukup tetapi kerana tidak terkawal.
Lebih mencabar, menjelang Aidilfitri, tekanan sosial semakin terasa. Mahu pakaian, langsir dan perabot baharu. Ini semuanya demi meraikan hari kemenangan.
Bagi keluarga berpendapatan sederhana dan rendah, keinginan menggembirakan anak-anak sering mengatasi kemampuan sebenar.
Dalam dunia serba digital hari ini, godaan menjadi lebih mudah. Konsep ‘beli dahulu, bayar kemudian’ menjadikan perbelanjaan terasa ringan, sedangkan komitmennya mungkin berpanjangan.
Kegembiraan Syawal hanya sebulan tetapi ansuran boleh memakan masa berbulan-bulan. Tanpa perancangan rapi, Ramadan dan raya boleh meninggalkan kesan tekanan kewangan yang berlarutan.
Hakikatnya, dari sudut ekonomi, perbelanjaan Ramadan merancakkan aktiviti domestik. Peniaga kecil, usahawan mikro dan penjaja bazar mendapat limpahan rezeki bermusim. Banyak yang menjadikan Ramadan sebagai peluang menambah pendapatan.
Malah agensi seperti SME Corp. turut menggalakkan pembangunan keusahawanan mikro sebagai pemangkin ekonomi rakyat.
Namun persoalan yang lebih besar ialah keseimbangan. Adakah kita berbelanja untuk memenuhi keperluan atau sekadar memenuhi kehendak dan persepsi masyarakat? Adakah kemeriahan diukur pada banyaknya juadah atau ketenangan hati selepas raya?
Islam memperkenalkan konsep wasatiyyah, kesederhanaan yang seimbang. Kesederhanaan bukan bermaksud menolak kegembiraan tetapi memastikan kegembiraan itu tidak menjejaskan kestabilan.
Dalam konteks kewangan keluarga, kesederhanaan bermaksud merancang, membuat bajet, mengutamakan keperluan dan mengelakkan hutang konsumtif. Ramadan sebenarnya adalah ‘kursus intensif’ pengurusan diri. Jika kita mampu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari, mengapa sukar menahan keinginan membeli secara berlebihan?
Jika kita mampu bangun awal untuk sahur, mengapa sukar meluangkan masa merancang bajet keluarga?
Ketahanan ekonomi negara bermula dari ketahanan isi rumah. Dalam keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu, nilai disiplin dan perancangan menjadi semakin penting.
Kesejahteraan bukan sekadar pada angka pendapatan tetapi pada kemampuan mengurus rezeki dengan bijaksana.
Institusi keluarga memainkan peranan utama. Perbincangan terbuka tentang bajet raya, mendidik anak tentang nilai wang dan mengutamakan pengalaman kebersamaan berbanding kemewahan luaran adalah langkah kecil yang membawa impak besar.
Masjid dan komuniti pula boleh menjadikan Ramadan sebagai ruang memperkukuh literasi kewangan dan budaya berbelanja secara beretika.
Akhirnya, Ramadan mengajar kita bahawa kekayaan sebenar bukan pada apa yang dimiliki tetapi pada apa yang mampu dikawal. Nafsu yang terkawal melahirkan jiwa yang tenang.
Perbelanjaan yang terkawal melahirkan keluarga yang stabil.
Semoga Ramadan kali ini bukan sahaja menyucikan jiwa tetapi juga mematangkan cara kita mengurus rezeki. Ini kerana keberkatan itu bukan pada banyaknya yang dibelanjakan tetapi pada hikmah dan keseimbangan dalam setiap keputusan. –UTUSAN
DR. ZURINA SAMSUDIN
Pensyarah Kanan, Johor Business School
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)











