PETALING JAYA: Amalan kutipan hutang oleh ejen bank yang didakwa melanggar etika bukanlah kes terpencil dan ia amat memberi kesan emosi kepada peminjam.
Presiden Pertubuhan Gandingan Gerak Pengguna Malaysia, Datuk Sheeda Romli berkata, majoriti aduan diterima melibatkan gangguan berterusan melalui panggilan telefon, mesej serta ugutan palsu yang menggunakan nama peguam, polis dan institusi kewangan.
Katanya, walaupun tiada unsur keganasan fizikal dilaporkan setakat ini, tekanan emosi yang dialami mangsa disifatkan jauh lebih berat dan berpanjangan.
“Ada mangsa yang takut pulang ke rumah sendiri selepas ejen menghantar individu menyerahkan notis dan bercakap secara kasar di hadapan ahli keluarga serta jiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, tindakan pihak bank yang didakwa menggunakan ejen kutipan hutang dengan mengugut dan memalukan penghutang dilihat menekan pengguna khususnya berpendapatan rendah.
Amalan itu juga bercanggah dengan prinsip perlindungan pengguna dan boleh melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.

Sheeda berkata, dalam satu kes yang dianggap paling tragis, seorang pegawai kanan syarikat terpaksa meninggalkan kerjaya selepas ejen kutipan hutang menghubungi majikan secara berterusan.
Katanya, tekanan itu menyebabkan mangsa berdepan perasaan malu, trauma emosi dan akhirnya kehilangan jawatan serta sumber pendapatan.
“Mangsa juga terpaksa pulang ke kampung dan memulakan kehidupan baharu dengan berniaga kecil-kecilan, selepas tidak lagi mampu menanggung tekanan yang dialami.
“Tindakan menghubungi majikan dan pihak ketiga jelas melampaui batas serta mencemar maruah dan reputasi individu,” katanya.
Sheeda turut mendedahkan, kebanyakan ejen enggan mengaku sebagai pihak ketiga, sebaliknya mendakwa sebagai kakitangan bank bagi menakutkan penghutang.
“Ejen juga menggunakan nombor telefon berbeza sebagai taktik mengelak dikesan, sekali gus menyukarkan mangsa dan pihak berkuasa mengenal pasti identiti sebenar mereka,” katanya.
Menurutnya, walaupun bayaran hutang dibuat terus ke akaun bank dan ejen hanya menerima komisen, kaedah agresif itu menimbulkan persoalan terhadap tahap pemantauan institusi kewangan.
“Tanpa pemantauan ketat, amalan kutipan hutang agresif ini berisiko menjadikan ejen bank tidak ubah seperti ah long berlesen yang menekan pengguna secara senyap,” katanya.
Menurut garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM), ejen kutipan hutang mesti menjalankan tugas secara profesional, adil dan tidak mengganggu peminjam.
BNM turut menekankan bahawa peminjam berhak dilindungi daripada intimidasi atau tekanan emosi dan bank boleh dikenakan tindakan jika gagal memantau ejen dilantik.
Peminjam yang diganggu boleh membuat aduan kepada bank dan seterusnya kepada BNM melalui BNMLINK atau BNMTELELINK sekiranya isu gagal diselesaikan.
Sementara itu, seorang suri rumah yang ingin dikenali sebagai Norlina, 56, mendakwa, dia diganggu hampir lima tahun oleh ejen kutipan hutang, walaupun telah diisytiharkan muflis dan tidak pernah gagal membuat bayaran kepada Jabatan Insolvensi.
Katanya, ugutan saman dan gangguan berterusan memaksanya membayar jumlah yang diminta oleh ejen demi meredakan ketakutan, sekali gus mencetuskan kebimbangan berpanjangan walaupun gangguan kini sudah berhenti. – UTUSAN










