Dr. Akmal akan umum keputusannya esok - Ahmad Zahid

Dr. Akmal akan umum keputusannya esok – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dijangka membuat pengumuman mengenai masa depannya dengan UMNO esok selepas mengadakan pertemuan dengan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Dr. Muhamad Akmal bagi membincangkan beberapa isu berbangkit khususnya membabitkan masa depan Ketua Pemuda UMNO tersebut

Katanya, dalam pertemuan itu, beliau telah menitipkan pesanan dan nasihat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau tersebut.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bagaimanapun enggan mendedahkan perincian perbincangan beliau bersama EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

“Pertemuan (bersama Dr. Muhamad Akmal) sudah berlangsung (di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, WTCKL) sebentar tadi.

“Saya ada memberikan nasihat terbaik dan Dr. Muhamad Akmal akan mengumumkan (hasil perbincangan) esok,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Dr. Muhamad Akmal tidak terheret dengan sebarang tekanan mana-mana pihak dalam menentukan hala tuju politiknya.

Kata beliau, sebarang langkah berkaitan kedudukannya tidak dibuat secara tergesa-gesa tanpa persetujuan dan rundingan bersama Presiden UMNO dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Persoalan sama ada beliau akan melepaskan jawatannya atau tidak dijangka hanya akan terjawab pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang berlangsung bermula esok.

Katanya, platform tertinggi parti itu bakal digunakan untuk menjelaskan pendirian rasmi berhubung kedudukannya termasuk khabar angin isu peletakan semua jawatan disandangnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN