‘Dosa rasuah tak hilang walau umrah banyak kali pun’

‘Dosa rasuah tak hilang walau umrah banyak kali pun’

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rasuah lebih besar dosanya berbanding makanan haram kerana kesannya melibatkan orang ramai namun kelemahan iman dan kefahaman agama menyebabkan perbuatan itu berterusan walaupun seseorang memiliki ilmu.

Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, rasuah berpunca daripada kegagalan manusia dalam melaksanakan tanggungjawab, selaras peringatan Allah dalam Surah al-Asr mengenai kerugian manusia kecuali yang beriman, beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

“Lepas tu buat umrah lagi banyak rasuah lagi acap kali umrah tak jadi masalah. Boleh hilang begitu? Dalam Islam tak hilang mesti kena ambil tindakan undang-undang baru hilang dosa.

“Kalau tak ambil tindakan undang-undang, akhirat kena lagi. Kalau dia sedar macam ni barulah dia tak berani buat,” katanya keitka membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau juga menegur bahawa wujud pelaksanaan undang-undang secara terpilih, apabila individu yang menyokong kerajaan dilindungi manakala yang tidak menyokong dikenakan tindakan.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan kerajaan akhirnya menjadi pelindung kepada pelaku rasuah dan menjadikan sistem pentadbiran sebagai ‘payung yang bocor’.

Abdul Hadi berkata, kegagalan menangani rasuah berpunca daripada tiga perkara utama iaitu kelemahan pembangunan insan, kelemahan undang-undang serta kepimpinan yang lemah.
 
Beliau berkata, pembangunan tidak seimbang melahirkan nafsu yang tidak terkawal sehingga mendorong kepada kerakusan dan keinginan harta tanpa batas, sebagaimana digambarkan dalam Rasulullah dan peringatan dalam Surah at-Takathur.

“Nafsu yang melonjak ini menyebabkan rakus. Tak kira melibatkan semua pihak sehingga dalam rasuah ni berlaku macam kisah dua ekor kera yang minat dengan pisang sangat suka dengan pisang, berebut pisang, pisang sebiji.

“Jumpa dengan beruk, beruk pun minat pisang juga. Sila selesai masalah. Beruk pun selesailah masalah. Dia potong pisang berat sebelah, dia potong berat sebelah, dia potong masuk dalam mulut dia, masuk dalam mulut beruk.

“Potong berat lagi, masuk dalam mulut beruk lagi,  potong masuk akhirnya tinggal kulit, tinggal kulit dah habis dapat kat beruk. Boleh ke kera ni kulit-kulit saja. Ini yang berlaku,” katanya.

Tegasnya, keadaan itu menyebabkan projek gagal dilaksanakan, hospital tidak siap, pembelian senjata tidak sampai atau melibatkan barangan terpakai kerana peruntukan habis di tengah jalan akibat rasuah.

“Duit habis tengah jalan dicantas oleh ‘beruk-beruk’ yang jaga ‘roadblock’ ini. Ada yang ambil 10 peratus tengah jalan, ambil 5 peratus tengah jalan, ambil berapa peratus tengah jalan menyebabkan akhirnya tak cukup.

“Menyebabkan nak beli, bajet cukup, bila lulus bajet tiap-tiap tahun cukup, tapi bila sampai masa nak laksana tak cukup. Ini berlaku kelemahan-kelemahan. Kalau dia ada iman tak berani nak buat benda macam ni,” kata beliau.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN