Didenda RM45,000 benar imigran haram tinggal dalam premis

Syarikat kuari, lelaki tempatan didenda RM45,000 benar imigran haram tinggal dalam premis

AHMAD Zulhairi Alias (kiri) semasa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengenakan denda keseluruhan RM45,000 ke atas sebuah syarikat pengkuarian dan seorang lelaki tempatan selepas mengaku bersalah membenarkan imigran haram masuk atau tinggal di dalam premis masing-masing. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman denda terhadap wakil syarikat East Rock Ajil Sdn. Bhd. sebanyak RM25,000 dan RM20,000 kepada Ahmad Zulhairi Alias, 34, selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan dibaca secara berasingan. 

Mengikut pertuduhan, pada 16 November lalu kira-kira pukul 4.25 petang, Bahagian Penguatkuasa Imigresen Terengganu menjalankan operasi dan pemeriksaan di East Rock Ajil Sdn. Bhd. di Jalan Kuala Terengganu – Jerangau di Hulu Terengganu. 

Syarikat berkenaan dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan hasil siasatan mendapati, tertuduh membenarkan lima imigran haram berusia antara 35 tahun hingga 55 tahun untuk masuk atau tinggal di premis yang mana tertuduh mempunyai kuasa ke atas premis tersebut. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didenda RM25,000 atau tiga bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda. 

Bagi kes kedua pada 11 November lalu pada pukul 11.45 pagi, Bahagian Penguatkuasa Imigresen Terengganu menjalankan operasi dan pemeriksaan di sebuah Tapak Pembinaan di Bukit Bidong Merang, Setiu, dekat sini.

Hasil pemeriksaan mendapati Ahmad Zulhairi melakukan kesalahan sama melibatkan empat warga asing berusia antara 28 tahun hingga 36 tahun. Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan denda RM20,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta sama, yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI yang dijumpai di premis.

Pendakwaan dikendalikan oleh Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Negeri Terengganu manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN