PETALING JAYA: Deretan premis kedai makan dan runcit di Taman Medan di sini musnah dalam kejadian kebakaran di sini tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian pada pukul 12.29 tengah hari.
“Kebakaran melibatkan deretan kedai makan dan kedai runcit bangunan kelas C berkeluasan 100 x 40 kaki persegi yang terbakar 80 peratus.
“Seramai 14 anggota digerakkan melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penchala dengan balai bantuan BBP Petaling jaya, BBP Puchong dan BBP Subang Jaya untuk mengawal dan memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tiada mangsa yang terlibat setakat ini dan punca kejadian masih disiasat. – UTUSAN










