CIMB capai penarafan tertinggi AAA MSCI ESG

CIMB capai penarafan tertinggi AAA MSCI ESG

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) dinaik taraf daripada penarafan AA kepada AAA dalam MSCI ESG Ratings, iaitu tahap tertinggi yang mencerminkan pengurusan kukuh terhadap risiko dan peluang alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG).

Kenaikan penarafan itu didorong oleh pengukuhan amalan serta pendedahan kemampanan kumpulan, khususnya dalam perlindungan pengguna dan pengurusan tenaga kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, pencapaian terbaharu itu mencerminkan usaha berterusan kumpulan dalam mengintegrasikan kemampanan secara lebih mendalam ke dalam operasi teras.

“Pendekatan ini merupakan elemen penting dalam strategi Forward30 kami, di mana kemampanan bukan dilihat sebagai agenda berasingan, sebaliknya menjadi pemacu utama cara kami berkembang dan mencipta impak.

“Walaupun kami berbesar hati dengan penarafan AAA MSCI ESG dan pengiktirafan daripada World Benchmarking Alliance, penanda aras ini dilihat sebagai petunjuk bahawa strategi kami berada di landasan yang betul.

“Keutamaan CIMB adalah menterjemahkan aspirasi kepada pelaksanaan dengan menyokong pelanggan melalui peralihan ekonomi mampan serta menghasilkan impak sebenar di rantau ASEAN,” katanya dalam kenyataan.

CIMB turut mengekalkan skor alam sekitar yang kukuh pada paras 9.2, mencerminkan disiplin pengurusan risiko alam sekitar dalam proses pemberian kredit.

MSCI ESG Ratings menilai sejauh mana sesebuah syarikat mengurus risiko dan peluang ESG khusus industri yang boleh memberi kesan kepada prestasi kewangan.

Penilaian dibuat menggunakan metodologi berasaskan peraturan dengan menggabungkan pendedahan korporat dan sumber data alternatif, sebelum sesebuah syarikat diberikan penarafan daripada AAA hingga CCC berbanding rakan industri.

Dalam perkembangan berkaitan, Novan berkata, CIMB turut menduduki tempat pertama di peringkat global dalam Financial System Benchmark 2025 oleh World Benchmarking Alliance (WBA), selain meraih kedudukan kedua dunia bagi Kewangan Inklusif.

“Pengiktirafan itu mencerminkan usaha kumpulan dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan serta menyokong peralihan adil yang memastikan kemajuan sosioekonomi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

“Pencapaian tersebut disokong oleh pelaksanaan dasar kredit alam sekitar khusus mengikut sektor serta amalan tadbir urus yang telus,” katanya.

Penanda aras WBA menilai 400 institusi kewangan paling berpengaruh di dunia berdasarkan keupayaan mereka mentransformasikan sistem kewangan ke arah masa depan yang lebih adil dan mampan.

Di sebalik penarafan luaran, fokus utamanya adalah menyokong pelanggan dalam menyesuaikan diri dengan peralihan kepada ekonomi yang lebih lestari.

Selaras dengan komitmen untuk menggerakkan pembiayaan mampan bernilai RM300 bilion menjelang 2030, kumpulan terus memperhebat usaha membantu pelanggan mengurus risiko peralihan serta merebut peluang berkaitan penyahkarbonan dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Usaha tersebut merangkumi peluasan khidmat nasihat kemampanan, pembiayaan karbon dan pembiayaan alam semula jadi, dengan penekanan khusus kepada sokongan praktikal untuk perusahaan kecil dan sederhana melalui bengkel mengikut sektor.

Inisiatif itu bertujuan menterjemahkan keperluan kemampanan kepada strategi perniagaan dan pembiayaan yang jelas, di samping menghubungkan perniagaan dengan penyedia penyelesaian penyahkarbonan yang berwibawa serta menggalakkan kemajuan melalui pembiayaan berkaitan kemampanan berasaskan pencapaian yang boleh diukur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×