Calon PM, Pengerusi PN dipilih bukan melalui rancangan realiti

Calon PM, Pengerusi PN dipilih bukan melalui rancangan realiti

MOHD. SYAHIR CHE SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang keputusan utama Pas termasuk penentuan calon Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dibuat melalui proses syura dan musyawarah tanpa campur tangan pihak luar serta dimuktamadkan mengikut tatacara ditetapkan parti.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, kaedah berkenaan jelas berbeza dengan rancangan realiti televisyen yang bergantung kepada undian popular.

“Pas memberi keutamaan kepada proses perbincangan yang tersusun dengan mengambil kira pandangan pelbagai peringkat dalam parti sebelum sebarang keputusan diputuskan.

“Sebarang keputusan akan dirunding, dimuktamad dan diumumkan mengikut tertib serta kaedah ditetapkan oleh parti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohd. Syahir mengulas kenyataan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil yang menyindir Pas kerana didakwa berterusan berteka-teki dalam menamakan calon Pengerusi PN serta menyamakan situasi itu seperti rancangan realiti televisyen.

Mohd. Syahir berkata, pendirian Pas ditentukan secara bebas termasuk soal kerjasama politik dengan berpaksikan prinsip, maruah dan harga diri parti.

Beliau turut mengkritik Amanah yang didakwa hanya mengikut keputusan DAP dalam menentukan hala tuju politiknya.

“Amalan syura dan musyawarah bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya merupakan kesinambungan legasi kepimpinan Pas terdahulu termasuk tokoh-tokoh awal parti. Pendekatan ini akan terus dipertahankan walaupun ada pihak yang memilih haluan berbeza,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN