JOHOR BAHRU: Akibat membuang puntung rokok merata-rata, seorang operator pengeluaran warga Bangladesh didenda RM1,000 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Orang Kena Saman (OKS), Sultan Md, 28, dijatuhi hukuman itu apabila mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Lelaki warga asing itu turut diperintah untuk melakukan khidmat masyarakat selama enam jam dengan tempoh dua jam sehari dan perlu dilaksanakan dalam tempoh tidak lebih daripada enam bulan.
Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, OKS didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang disediakan bagi maksud membuang sisa pepejal tersebut di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut, di sini, pada pukul 1.27 pagi, 1 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta sama. – UTUSAN










