PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) nafi terlibat dalam krisis politik yang berlaku di Perlis sehingga menyaksikan pengunduran Pas daripada kerajaan negeri itu.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu tidak terlibat dan tidak pernah cuba melemahkan PAS seperti mana didakwa sebahagian pihak.
“Kami ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa Bersatu terlibat. Bersatu tidak pernah terlibat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu malam tadi.
Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yang dilantik menggantikan Shukri Ramli daripada Pas yang meletakkan jawatan atas sebab kesihatan.
Kerajaan Perlis bawah pimpinan Shukri sebelum ini goyah ekoran lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) menarik balik sokongan mereka.
Pada 27 Disember lalu, Muhyiddin menafikan bahawa parti itu mengarahkan lima ADUN Bersatu di Perlis menarik balik sokongan terhadap Shukri sebagai menteri besar.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menolak dakwaan bahawa Bersatu cuba mensabotaj rakan sekutunya itu.
“Kami juga ingin menafikan tuduhan pihak lain yang mengatakan kami pengkhianat. Saya secara peribadi tidak terlibat langsung dalam perkara itu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, MPT Bersatu telah membincangkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi gabungan pembangkang itu.
Katanya, beliau telah menjelaskan kepada majlis tersebut secara terperinci keadaan yang membawa kepada keputusannya itu.
“Walaupun terdapat perbezaan pandangan mengenai peletakan jawatan saya, MPT menghormati keputusan tersebut,” jelasnya.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula berkata, MPT turut mendengar penjelasan Abu Bakar mengenai krisis Perlis dan berpuas hati dengan keterangannya.
“Bagaimanapun, MPT melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan bahawa parti telah mengkhianati perjanjian antara komponen PN,” katanya dalam satu kenyataan sambil menafikan penglibatan parti itu dalam krisis Perlis.
Beliau berkata MPT turut meneliti hala tuju PN sebagai persediaan menghadapi PRU16.
“Kami mengambil maklum pendirian Bersatu untuk terus kekal sebagai sekutu setia dalam PN,” katanya.-UTUSAN










