BUTTERWORTH : Seorang bekas pengetua sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) mengaku tidak bersalah atas 23 pertuduhan pecah amanah yang dikenakan terhadapnya melibatkan dana sekolah berjumlah RM138,673.80, kira-kira tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Zaidi Salleh, 58, membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang bertugas selaku Pengetua Maahad Al Imam An Nawawi (MIN) antara tahun 2019 hingga 2023 dan diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu dana milik MIN telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.
Dia yang juga Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah maahad tersebut didakwa melakukan kesalahan terbabit dengan membuat pindahan wang secara dalam talian kepada dirinya sendiri yang mana wang tersebut sepatutnya digunakan untuk penyelenggaraan maahad berkenaan.
Tertuduh yang kini bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG10 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut antara bulan Julai hingga Disember 2019.
Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara tempoh dua hingga 20 tahun selain dikenakan sebatan dan denda bagi setiap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Adam Luqman Mohammad Ismail.
Ketika prosiding, Noor Azura menawarkan wang jaminan sebanyak RM50,000, namun, Muhammad Adam mahu jumlah minimum dikenakan atas alasan enam daripada lapan anak kepada kepada tertuduh masih belajar di universiti tempatan dan luar negara.
Pada masa yang sama, Muhammad Adam berkata, anak guamnya itu juga perlu menjaga isteri yang sedang menghidap penyakit kencing manis serta telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan terhadapnya dijalankan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lelaki itu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Selain itu, tertuduh juga diarah agar melaporkan diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri sekali pada setiap bulan.
Sebutan semula kes kemudiannya ditetapkan pada 26 Februari depan bagi tujuan penyerahan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.-UTUSAN










