Baki 16 tuntutan MA1963 masih dalam perbincangan

Baki 16 tuntutan MA1963 masih dalam perbincangan

Mustapha Sakmud - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 baki daripada 29 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum diselesaikan masih dalam peringkat perbincangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, satu tuntutan sudah dikategorikan sebagai selesai secara interim dan dua tuntutan pula mencapai keputusan dasar.

Katanya, lapan tuntutan pula masih dalam perbincangan, manakala lima baki tuntutan lagi kini dirujuk untuk perbincangan atau keputusan peringkat tertinggi.

“Tempoh masa bagi penyelesaian setiap perkara di bawah MA63 adalah tertakluk ke atas beberapa faktor antaranya seperti sekiranya terdapat perbezaan tafsiran undang-undang di antara pelbagai pihak terlibat yang perlu diteliti dengan sebaiknya.

“Selain itu, proses perundangan perlu melalui tempoh masa yang panjang bagi menyelesaikan suatu perkara di bawah MA63 serta jika terdapat beberapa perkara di bawah MA63 yang dibawa ke platform rundingan rasmi MA63 melibatkan bidang kuasa bertindih dan menjadikannya agak kompleks untuk diselesaikan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) berhubung pendekatan kerajaan Madani dalam MA63 berbeza dengan kerajaan terdahulu dari segi keikhlasan dan keberanian membuat pembaharuan.

Mustapha berkata, sebanyak 13 tuntutan MA63 sudah diselesaikan termasuk sembilan daripadanya merupakan hasil kerja kerajaan Madani.

Beliau berkata, kerajaan Madani sudah menambah baik platform rundingan rasmi MA63 dengan menubuhkan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

Kata beliau, Jawatankuasa Penyelarasan Khas yang dipengerusikan oleh dirinya sendiri juga akan ditubuhkan di bawah MTPMA63 bertujuan untuk membincangkan, meneliti serta menyelaras isu-isu teknikal secara khusus, terperinci dan berfokus dalam mendapatkan persetujuan serta kaedah pelaksanaan yang teratur dan berkesan.

Beliau berkata, tahap kesediaan Kerajaan Sabah dan Sarawak dari sudut operasi, sumber manusia dan kewangan juga merupakan antara aspek yang perlu diambil kira sebelum suatu perkara di bawah MA63 dapat diselesaikan.

Tambahnya, kerajaan akan terus memastikan pelaksanaan MA63 dilaksanakan secara berhemah, inklusif dan berteraskan semangat Persekutuan selari dengan tekad Perdana Menteri untuk memperkukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam pembinaan negara. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×