Apa pun keputusan, itu hak MIC - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Apa pun keputusan, itu hak MIC – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (lima dari kiri) pada majlis pecah tanah Taman Industri QL Innofood di Hutan Melintang di Bagan Datuk. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) berharap kerjasama antara parti teras dalam gabungan itu dapat diperkukuhkan namun tetap menghormati apa juga keputusan yang akan dibuat oleh MIC berhubung kedudukannya dalam BN.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap parti gabungan khususnya parti teras iaitu UMNO, MCA dan MIC perlu menghormati antara satu sama lain.

“Kami dalam Barisan Nasional berpendirian bahawa setiap parti gabungan, khususnya parti teras, kita menghormati antara satu sama lain.

“Begitupun apapun keputusan yang akan dibuat oleh MIC, itu adalah hak dan pendirian parti perkenaan.

“Namun, dengan adanya lima buah parti dengan memasukkan semula PPP (UMNO, MCA, MIC, PBRS dan PPP), MIC adalah merupakan parti teras daripada sejak zaman parti Perikatan dahulu bersama-sama dengan MCA dan UMNO.

“Kita harapkan agar parti teras di dalam Barisan Nasional ini dapat terus dikukuhkan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Taman Industri QL Innofood di Hutan Melintang di sini.

Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MIC, Tan Sri. S. A. Vigneswaran parti itu akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan penyertaan rasmi parti itu ke dalam Perikatan Nasional (PN).

Katanya, walaupun PN sudah memberi lampu hijau kepada MIC untuk menyertai gabungan pembangkang itu, penyertaan perlu dilaksanakan mengikut proses rasmi.

Kata Vigneswaran, beliau akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam masa terdekat bagi membincangkan butiran lanjut mengenai perkara itu dan merasmikan kerjasama antara MIC dan PN. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN