BAGHDAD: Sebuah pesawat pengisian bahan api udara KC-135 milik Amerika Syarikat (AS) terhempas di barat Iraq, menurut tentera Amerika semalam.
Sebuah lagi pesawat yang terlibat dalam insiden itu berjaya mendarat dengan selamat.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan dengan segera sama ada terdapat mangsa atau tidak dalam insiden terbaharu itu.
Markas Pemerintah Pusat AS yang bertanggungjawab ke atas tentera Amerika di Asia Barat berkata dalam satu kenyataan: “Salah sebuah pesawat terhempas di barat Iraq. Pesawat kedua mendarat dengan selamat. Insiden ini bukan disebabkan oleh tembakan musuh atau tembakan rakan sendiri.”
Bagaimanapun, tentera Iran mendakwa dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh televisyen kerajaan bahawa sebuah kumpulan sekutu di Iraq telah menembak jatuh pesawat tersebut menggunakan peluru berpandu, menyebabkan semua anak kapalnya terbunuh.
Pesawat KC-135 itu merupakan sekurang-kurangnya pesawat tentera Amerika keempat yang hilang sepanjang perang di Asia Barat.
Sebelum ini, tiga pesawat pejuang F-15 ditembak jatuh akibat tembakan jet dari negara sekutu di Kuwait.
Menurut Tentera Udara AS, pesawat KC-135, yang telah digunakan selama lebih 60 tahun, lazimnya mempunyai tiga orang kru. Kru-kru itu terdiri daripada seorang juruterbang, seorang pembantu juruterbang dan seorang lagi anggota yang mengendalikan pengisian bahan api.
Pada peringkat awal perang yang bermula pada 28 Februari, tentera Kuwait secara tidak sengaja menembak jatuh tiga pesawat pejuang F-15E milik Amerika.
Namun, kesemua enam anak kapal berjaya keluar menggunakan kerusi anjal.
Insiden itu berlaku ketika pertempuran yang melibatkan serangan daripada pesawat Iran, peluru berpandu balistik dan dron, menurut kenyataan pihak tentera ketika itu. – AFP/AGENSI










