KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan kejayaan pelakon wanita Asia, Tan Sri Michellle Yeoh merangkul Anugerah Oscar sebagai satu detik bersejarah yang membuktikan bakat, disiplin dan ketekunan mampu menembusi sempadan dunia.
Perdana Menteri berkata, pencapaian itu bukan sekadar kemenangan peribadi, malah menjadi lambang kejayaan masyarakat Asia dalam industri perfileman global yang sebelum ini didominasi Barat.
“Beliau seorang pelakon yang luar biasa, versatil dan penuh dedikasi. Kejayaannya lahir daripada disiplin yang tinggi serta semangat juang yang tidak pernah luntur,” katanya ketika majlis pelancaran ‘I LITE U’ yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur, di sini, malam ini.
Majlis itu bersempena Peluncuran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar bertemakan Infrastruktur Lampu Inovasi Teknologi Eko-Mampan Ke Arah Urbanisasi (I Lite U).
Sambutan penuh warna-warni itu turut menandakan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Anwar berkata, perjalanan pelakon tersebut daripada seorang yang kurang dikenali sehingga berdiri megah di pentas Oscar wajar dijadikan inspirasi, khususnya kepada generasi muda untuk terus percaya pada potensi diri.
“Ini membuktikan dengan kerja keras dan keazaman, seorang anak seni mampu melangkah ke pentas dunia dan memperlihatkan erti sebenar seorang bintang,” katanya.
Beliau turut berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada penggiat seni tempatan untuk terus berkarya dengan berani, berdisiplin dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.-UTUSAN










