IPOH: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Tiger Lane, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian pada pukul 3.30 petang itu mengorbankan Koperal Mohd. Hafizan Othman, 33, di lokasi kejadian.
Katanya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Balai Polis Kampung Rapat untuk penugasan bermula pukul 4 petang hingga 11 malam.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Dalam kejadian itu, pemandu Perodua Myvi yang terlibat dalam nahas telah melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
“Jenazah anggota itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ghurab di Jalan Kuala Kangsar esok,” katanya. – UTUSAN










