Muhyiddin nafi Bersatu ada hubungan rapat dengan PH

Muhyiddin nafi Bersatu ada hubungan rapat dengan PH

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan parti itu sedang mewujudkan hubungan rapat dengan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, tuduhan tersebut merupakan dakwaan liar yang tidak berasas serta berniat jahat bagi menjejaskan keharmonian dalam Bersatu dan antara parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Katanya, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan di mana-mana peringkat parti termasuk dalam Majlis Pimpinan Tertinggi yang menentukan dasar serta hala tuju parti.

“Bersatu mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara serta membela kebajikan rakyat.

“Kerjasama Bersatu dengan mana-mana parti lain adalah berpandukan prinsip yang jelas ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata, atas prinsip tersebut Bersatu telah mengasaskan PN bersama Pas sebelum disertai Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Katanya, PN adalah wadah terbaik bagi Bersatu merealisasikan perjuangannya dan parti itu tidak pernah berganjak daripada pendirian tersebut.

“Fokus Bersatu pada masa ini adalah untuk memperkukuhkan parti dan memperkuatkan Perikatan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN