Krisis Asia Barat: Bekalan elektrik negara kekal stabil, terjamin 

Krisis Asia Barat: Bekalan elektrik negara kekal stabil, terjamin 

FADILLAH YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekalan gas dalam negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi untuk menampung operasi loji jana kuasa di sebalik ketegangan geopolitik di Asia Barat susulan penutupan laluan Teluk Hormuz oleh Iran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebahagian besar bekalan gas bagi sektor penjanaan elektrik negara diperoleh daripada sumber domestik di Kerteh serta kawasan pembangunan bersama Thailand–Malaysia (JDA).

Katanya, sistem penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia bergantung kira-kira 40 hingga 45 peratus kepada gas asli sebagai bahan api utama.

“Kerajaan tetap memantau secara rapi perkembangan krisis geopolitik di Asia Barat susulan penutupan laluan Teluk Hormuz oleh Iran pada 2 Mac lalu yang memberi kesan kepada pasaran tenaga global.

“Situasi tersebut tidak menjejaskan tahap ketersediaan serta jaminan bekalan elektrik negara ketika ini kerana sistem penjanaan elektrik di Semenanjung bergantung sekitar 40 hingga 45 peratus kepada gas asli sebagai bahan api utama.

“Sebahagian besar bekalan gas berkenaan diperoleh daripada sumber domestik di Kerteh selain kawasan pembangunan bersama Thailand–Malaysia (JDA). Sehubungan itu, bekalan gas dalam negara pada masa ini adalah stabil dan mencukupi bagi menampung operasi loji jana kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai tarif elektrik, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan komited melindungi kebajikan pengguna daripada kesan kenaikan kos bahan api global melalui kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) di bawah tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) bagi 2025 hingga 2027.

Katanya, sebarang perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan diselaraskan melalui mekanisme penyelarasan automatik bahan api (AFA) setiap bulan berdasarkan pergerakan kos sebenar di pasaran.

“Pada masa ini, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt jam (kWj) sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan kos bahan api.

“Ini bermakna kira-kira 85 peratus pengguna domestik di seluruh negara tidak akan terkesan dengan turun naik harga bahan api di pasaran antarabangsa, sekali gus memberi kestabilan kepada perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, kadar AFA dijangka kekal dalam bentuk rebat sehingga April 2026.

Namun begitu, sekiranya kos bahan api global terus meningkat dan ketegangan di Asia Barat berpanjangan, kadar AFA berpotensi berubah pada bulan-bulan berikutnya.

Fadillah berkata, kementeriannya akan terus mengambil langkah proaktif bagi mengimbangi keterjaminan tenaga negara dengan kemampuan ekonomi pengguna supaya tarif elektrik kekal pada kadar munasabah.

Katanya, orang ramai digalakkan mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dan berhemah.

“Amalan penjimatan elektrik bukan sahaja membantu mengurangkan komitmen bil bulanan, malah menjadi sumbangan penting rakyat dalam memperkukuh kelestarian sistem tenaga negara,” katanya.

Sejak Julai 2025, kerajaan telah menyalurkan tampungan subsidi berjumlah RM2.506 bilion kepada pengguna melalui rebat bil elektrik sebagai insentif kecekapan tenaga.

Bagi memastikan perlindungan berterusan kepada pengguna, kerajaan turut meneliti langkah mitigasi tambahan sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan sehingga memberi tekanan besar kepada kos bahan api. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN