China bina ‘Tembok Pasir Besar’ di pulau rebutan Laut China Selatan - Utusan Malaysia

China bina ‘Tembok Pasir Besar’ di pulau rebutan Laut China Selatan

GAMBAR fail Kepulauan Paracel yang menempatkan Terumbu Antelope. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China semakin rancak mempergiat projek penambakan pasir yang dikenali sebagai ‘Tembok Pasir Besar’ apabila deretan kapal korek mula dikerahkan bagi menjadikan pulau-pulau yang dipertikaikan di Laut China Selatan menjadi pangkalan tentera.

Imej satelit terbaharu mendedahkan lebih 20 buah kapal korek sedang beroperasi secara besar-besaran, mengorek pasir dan lumpur dari dasar laut untuk dibawa ke permukaan bagi membina asas pembinaan baharu.

Meskipun pernah berjanji untuk menghentikan peluasan tersebut pada 2015, aktiviti pembinaan kini dilihat sedang rancak dijalankan di sekitar Terumbu Antelope, yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Paracel dan turut dituntut oleh Vietnam serta Taiwan.

Menurut laporan, gerak kerja tersebut pada awalnya hanya melibatkan dua buah kapal korek pada Disember tahun lalu. Namun, gambar terkini menunjukkan penglibatan armada 22 buah kapal korek ‘gelap’ berteknologi tinggi.

China menuntut hampir keseluruhan kawasan Laut China Selatan. Namun, ia  berdepan pertikaian wilayah dengan negara-negara jiran di laluan laut yang sibuk itu. Negara-negara terbabit sebelum ini telah menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap projek penambakan tanah oleh Beijing.

Sejak 2014, China secara proaktif memperkukuh tuntutannya dengan mengubah pulau dan terumbu menjadi pangkalan tentera. Landasan kapal terbang yang panjang telah dibina di tiga lokasi di Kepulauan Spratly iaitu Terumbu Fiery Cross, Terumbu Mischief dan Terumbu Subi serta di Pulau Woody yang terletak di Kepulauan Paracel.

Pangkalan-pangkalan ini turut dilengkapi dengan hangar dan sistem radar, sehingga membolehkan China mengerahkan pesawat tentera ke seluruh Laut China Selatan. 

Laporan daripada akhbar The Times menyatakan bahawa lokasi tersebut pernah menempatkan peluru berpandu jelajah antikapal dan peluru berpandu darat ke udara. Lokasi itu pernah mempunyai tempat perlindungan kukuh bagi menyimpan peluru berpandu. Selain itu, lapangan terbang di sana berupaya menerima pendaratan jet pejuang.

Walaupun Beijing menyatakan pada 2015 akan menghentikan langkah ketenteraan di pangkalan tersebut, aktiviti pembinaan ‘Tembok Pasir Besar’ ini menunjukkan sebaliknya dengan skala yang semakin meluas.

“Aktiviti di terumbu ini seperti telah mewujudkan beberapa kilometer persegi daratan baharu dengan penambakan yang signifikan dapat dilihat merentasi lebih 15 kilometer persegi di kawasan terumbu yang dahulunya kosong,” menurut laporan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Open Source Centre yang berpangkalan di London.

Laporan itu menambah bahawa permulaan yang kecil kini telah berkembang menjadi kempen industri gergasi.  – AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×