PETALING JAYA: “Anak saya masih trauma dan enggan ke sekolah selepas hidungnya berdarah ditampar seorang murid perempuan ketika ingin ke tandas sekolah.”
Demikian kongsi Syed Rosli Syed Harman, 50, iaitu bapa kepada seorang murid darjah satu yang cedera di hidung dipercayai ditampar murid perempuan dalam kejadian di sebuah sekolah di Ampang Jaya di sini.
Menurutnya, kejadian itu disedari dia dan isterinya selepas dihubungi pihak sekolah pada 3 petang Isnin lalu memaklumkan anak lelakinya berusia tujuh tahun mengalami kecederan di hidung.
Jelasnya, sebaik mengetahui kejadian itu, dia bersama isteri terus bergegas ke sekolah di Ampang Jaya untuk mengetahui apa yang berlaku.
“Sebaik tiba, guru besar, guru kelas dan guru-guru lain menceritakan kejadian itu berlaku ketika murid hendak ke tandas.
“Anak saya dikatakan berjalan di hadapan sementara murid perempuan itu berada di belakang dan difahamkan anak saya berjalan perlahan menyebabkan murid terbabit dikatakan tidak berpuas hati dan terus menampar muka anak saya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, selepas itu, dia terus membuat laporan polis dan membawa anaknya menerima rawatan di Hospital Ampang sebelum doktor yang merawat memberi cuti sakit selama dua hari.
Jelasnya, guru besar juga memaklumkan akan membuat siasatan dalaman dan murid terbabit juga akan ditukarkan kelas bagi menjaga keharmonian.
“Malah guru besar ingin mengadakan pertemuan dengan ibu bapa terbabit namun buat masa ini saya masih belum ingin bertemu dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
“Anak saya pun masih trauma dan tidak mahu ke sekolah namun saya akan cuba pujuknya untuk ke sekolah selepas cuti sakit habis hari ini,” katanya.
Beliau juga berharap pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dapat segera di pasang di semua sekolah bagi membantu kes dan memberi keadilan kepada semua pihak.
“CCTV ini amat penting kerana boleh dijadikan rujukan semula dan saya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan segera memasang di semua sekolah kerana ia dapat membantu pihak sekolah membuat pemantauan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubunga kejadian itu.
Menurutnya, pihaknya turut terkesan satu video tular pada 2.45 petang ini memaparkan seorang murid dipukul di sekolah.
“Laporan polis dibuat Isnin lalu oleh bapa mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini,” katanya.- UTUSAN










