Adam makin sembuh, lebam di mata hampir hilang -Sweet Qismina - Utusan Malaysia

Adam makin sembuh, lebam di mata hampir hilang -Sweet Qismina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon, Sweet Qismina, meluahkan rasa syukur apabila keadaan suaminya yang juga aktor, Adam Lee, beransur sembuh selepas menerima tujuh jahitan akibat terlibat dalam perlawanan sukan tempur, Fury Redemption, baru-baru ini.

Sweet atau Farhanna Qismina Supandi, 27, berkata, luka pada wajah suaminya semakin sembuh, malah lebam pada bahagian mata juga sudah hampir hilang sepenuhnya.

“Alhamdulillah, luka Adam semakin baik. Kalau perasan, benang jahitan pada lukanya pun sudah mula luruh dan kawasan yang luka itu sudah tidak merah lagi.

“Malah, kesan lebam ‘blue black’ pada bahagian matanya pun hanya tinggal sedikit sahaja lagi. Dia kini memang sedang dalam fasa pemulihan yang sangat baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas mengenai impak kecederaan tersebut terhadap jadual kerja mereka, Sweet memberitahu bahawa sesi penggambaran sebuah program di Sarawak yang sepatutnya berlangsung awal bulan ini terpaksa ditunda bagi memberi ruang kepada Adam untuk berehat.

“Sepatutnya 8 hari bulan lepas kami ke Sarawak untuk penggambaran lapan episod bagi TV Sarawak. Namun, pihak produksi terpaksa menganjakkan jadual tersebut ke bulan November ini supaya Adam benar-benar pulih sebelum kembali bekerja,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon drama Bidadari Salju ini turut berkongsi rutin pemakanan Adam yang kini dalam misi mengembalikan berat badan asal selepas susut demi memenuhi syarat kategori perlawanan sebelum ini.

“Berat Adam turun sehingga 71 kilogram (kg) sebelum ini semata-mata untuk bertarung. Jadi sekarang, dalam masa empat hari sahaja, beratnya sudah naik semula sekitar empat ke lima kilo.

“Mana tidaknya, saya beri dia makan daging setiap hari. Sekarang beratnya sudah mencecah 75 ke 76kg. Dia juga sudah mula aktif semula dengan melakukan aktiviti senaman seperti berjoging dan bermain pickleball setiap malam kerana bimbang berat badan naik mendadak jika tidak bersukan,” ujarnya berseloroh.

Terdahulu, Adam Lee menegaskan penglibatannya dalam sukar tempur itu adalah untuk membuka mata rumah produksi di Malaysia bahawa industri seni tidak ketandusan pelakon aksi.

Adam bagaimanapun gagal membawa pulang gelaran juara apabila tumbang di atas gelanggang dan dikalahkan pelakon, Alif Muhaimin dengan kiraan Technical Knockout (TKO). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN