54.8 hektar kawasan kebakaran tanah gambut berjaya dipadamkan

54.8 hektar kawasan kebakaran tanah gambut berjaya dipadamkan

KERJA-kerja pemadaman kebakaran menggunakan helikopter di Taman Bayu Damai, Pengerang, Kota Tinggi, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kira-kira 54.8 hektar daripada keseluruhan 99.55 hektar kawasan tanah gambut yang terbakar di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang di sini berjaya dipadamkan, setakat tengah hari tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Muhammad Al Mustakim Abdul Hady berkata, operasi memadamkan kebakaran bersepadu dengan kerjasama beberapa agensi yang mencapai 52 peratus itu adalah satu perkembangan positif.

“Kita yakin operasi pemadaman kebakaran pada hari ini akan terus menunjukkan perkembangan baik susulan penggunaan khidmat helikopter yang menggunakan teknik pengeboman air (water bombing).

“Kita sudah membuat ‘fire break’ dengan mengepung kawasan kebakaran dan kemudian membanjirkan kawasan berkenaan. Kita bahagikan kepada sembilan sektor yang mana beberapa sektor sudah dipadamkan dan beberapa lagi hampir padam,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Bomba (PKB) Operasi Pemadaman Kebakaran Tanah Gambut, di sini hari ini.

Muhammad Al Mustakim berkata, kerja-kerja pemadaman kebakaran akan bertambah mudah dengan melibatkan penggunaan helikopter setelah terdapat beberapa kawasan sukar dilalui dan jauh ke dalam belukar.

Menurutnya, percubaan untuk mengawal kebakaran menggunakan jengkaut semalam tidak berjaya disebabkan kawasan tanah yang lembap dan sukar untuk jentera bergerak.

“Jadi, kita harap helikopter akan dapat pergi ke bahagian tengah dan kita harap perkembangan oeprasi pemadaman hari ini lebih baik,” katanya.

Mustakim berkata, operasi ‘water bombing’ itu akan membabitkan kawasan kira-kira 30 peratus dan proses itu akan membantu mengurangkan asap kerana adanya wap air yang akan meresap asap.

“Helikopter MI-17 milik Unit Udara JBPM yang berpusat di Subang Jaya, Selangor itu mampu membawa sebanyak 1,340 liter air bagi satu penerbangan yang akan menjalankan operasi pemadaman dijangka sehingga Jumaat ini.

“Air berkenaan akan digugurkan dari helikopter ke kawasan kebakaran yang sudah ditandakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN