JOHOR BAHRU: Sebanyak 18 buah kenderaan musnah dalam kebakaran belukar yang merebak sehingga kawasan bersebelahan Masjid Al Mahabah, Taman Bukit Mewah di sini petang semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Nakish Nekmat berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu pada pukul 1.32 petang sebelum sembilan anggota beserta dua jentera dikejar ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kebakaran tersebut melibatkan kawasan belukar dengan anggaran keluasan 0.372 hektar yang merebak mengakibatkan beberapa kenderaan berhampiran terbakar.
“Anggota bomba bertindak melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan sumber air daripada jentera serta pili bomba berhampiran.
“Kebakaran dikawal sepenuhnya pada pukul 2.37 petang sebelum operasi ditamatkan pada pukul 5.20 petang setelah keadaan dipastikan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










