PUTRAJAYA: Pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam menerusi Reformasi Budaya Kerja (RBK) menjadi antara empat misi utama perkhidmatan awam 2026.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tumpuan diberikan kepada etos dan budaya kerja baharu yang menekankan disiplin, termasuk pelaksanaan mesyuarat lebih singkat dan berfokus khususnya bagi isu kritikal.
Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menerajui pelaksanaan RBK ini agar ia seiring pelaksanaan Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
“Untuk tahun ini, saya telah menetapkan agar di bawah inisiatif RKB, 500 projek mesti diselesaikan.
“Saya minta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan sekretariat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) dan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) memantau pelaksanaannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara (KSN) 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata, pengukuhan layanan mesra terhadap pelanggan dengan memperluaskan amalan senyum turut difokuskan serta amalan penjimatan tenaga dan sumber khususnya dalam keadaan tiada sebarang aktiviti di pejabat atau premis
“Semua urusan pentadbiran rasmi mestilah dilaksanakan secara digital semaksimumnya merangkumi mesyuarat tanpa kertas serta edaran surat dan memo secara elektronik.
Beberapa pengecualian hanya boleh diberikan kepada perkara-perkara seperti dokumen terperingkat yang berkaitan dengan isu keselamatan,” katanya.
Shamsul Azri berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan bagi mengelakkan paradoks produktiviti harus diperkasakan.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiga lagi misi utama perkhidmatan awam 2026 ialah meningkatkan kecekapan pelaksanaan, memudahkan urusan rakyat, serta memperkukuh komunikasi kerajaan.
Katanya, semua perancangan strategik kementerian dan jabatan perlu diselesaikan sebelum 15 Februari depan dan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) bagi penggal pertama 2026 wajib diadakan selewat-lewatnya 31 Januari ini.
“Selain itu penekanan terhadap pelaksanaan projek kecil, penambahbaikan kos pelaksanaan, peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah serta sokongan kepada perolehan produk tempatan.
Mengulas misi kedua, beliau berkata penjawat awam perlu menghayati prinsip memudahkan urusan rakyat selari dengan pendekatan “No Wrong Door Policy”.
Tambahnya, penggunaan kemudahan dan fasiliti agensi kerajaan di bandar dan luar bandar perlu dioptimumkan bagi pelaksanaan program yang melibatkan rakyat, termasuk melalui Pusat Komuniti Desa (PKD), NADI, KKom, pusat latihan dan sekolah.
Sementara itu, misi keempat memfokuskan kepada pengukuhan komunikasi kerajaan secara menyeluruh, dengan Unit Komunikasi Korporat diwajibkan terlibat dalam pembangunan dasar baharu. – UTUSAN










