PUTRAJAYA: Sebanyak 155 kuil telah diluluskan untuk menerima bantuan kewangan sebanyak RM20,000 secara one-off, melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM3.1 juta di bawah fasa pertama Program Dharma Madani.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, program itu menyasarkan penyertaan 1,000 rumah ibadat Hindu berdaftar di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.
Menurutnya, sejak pendaftaran dibuka, sebanyak 915 permohonan telah diterima dan diteliti oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) selaras dengan tatakelola serta peraturan yang berkuat kuasa.
“Saya berharap agar para pengerusi dan wakil pengurusan kuil akan memanfaatkan peruntukan yang disalurkan dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan prinsip tatakelola yang baik, serta memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh komuniti India setempat.
“Saya juga berharap agar para pentadbir kuil melaksanakan program komuniti secara telus dan berintegriti, mematuhi skop kelulusan serta garis panduan yang telah ditetapkan, di samping mengemukakan laporan perbelanjaan yang lengkap dan sahih selaras dengan keperluan tadbir urus,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Pemimpin Masyarakat India dan Sesi Penyerahan Surat Kelulusan Program Dharma Madani di Bangunan Perkeso di sini hari ini.
Jelasnya, pelaksanaan serta kelulusan bantuan di bawah Program Dharma Madani akan dilaksanakan secara berperingkat dan berfasa dengan senarai penerima bantuan akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui laman sesawang rasmi MITRA di www.mitra.gov.my.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Program Dharma Madani, iaitu satu inisiatif kerajaan bagi menyalurkan bantuan sekali beri (one-off) berjumlah RM20 juta kepada 1,000 buah rumah
ibadat Hindu berdaftar di seluruh negara pada Ogos lalu. – UTUSAN










