KUALA LUMPUR: Lebih RM7 juta duit mangsa penipuan atau scam berjaya dipulangkan sepanjang dua tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 20 individu dari 51 kes dilaporkan berjaya dituduh di mahkamah di bawah Kanun Keseksaan Subseksyen 424A.
Beliau berkata, tiga kes lagi diklasifikasikan tiada tindakan lanjut, tujuh pula diklasifikasikan sebagai kemas untuk simpan sementara 21 kes masih disiasat.
Katanya, di bawah Kanun Keseksaan Subseksyen 424B pula terdapat satu kes dan statusnya masih disiasat, sementara Subseksyen 424C mencatat 10 kes yang semuanya dalam siasatan sementara tiada laporan diterima di bawah Subseksyen 424D.
“Berapakah dalam kes yang diadu ini kita dapat selamatkan? Bagi 2024, wang mangsa yang dapat diselamatkan ialah RM508,479.39. Bagi 2025, wang mangsa yang dapat diselamatkan adalah RM6.7 juta.
“Peningkatan prestasi wang yang diselamatkan ini banyak juga dibantu oleh Pusat Aduan 997 (NSRC) yang mula beroperasi 24 jam berbanding sebelum ini hanya waktu pejabat. Kedua, kerana penambahan perjawatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang meminta kementerian menyatakan jumlah mangsa scam yang berjaya mendapat balik duit mereka pada 2024 dan 2025.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, purata panggilan yang diterima NSRC adalah sebanyak 500 dan separuhnya merupakan aduan tulen.
“Yang paling banyak adalah (Subseksyen) 424A, merujuk kepada seseorang yang memiliki atau mempunyai kawalan terhadap instrumen pembayaran seperti kad ATM, kad debit, kad kredit atau akaun.
“Seperti seseorang yang membuat pinjaman dalam talian dengan pihak yang kononnya menawarkan pinjaman, tetapi mangsa diminta membayar yuran, insurans dan kos perjanjian terlebih dahulu, sebelum menyedari bahawa dia telah ditipu selepas semua bayaran dibuat,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya individu berkenaan disabitkan bersalah maka dia akan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,0000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Ini bahawa (Subseksyen) 424A, ia adalah Subseksyen yang paling banyak digunakan oleh polis dalam menyiasat kes jenayah penipuan melalui talian,” katanya. – UTUSAN










