JOHOR BAHRU: Seramai 14 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri ini menggesa supaya kedudukan Datuk Dr. Sahruddin Jamal sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor digantikan menjelang pilihan raya akan datang.
Ketua Bersatu Bahagian Pontian, Datuk Isa Ab. Hamid berkata, tindakan itu susulan kehilangan kepercayaan dalam kalangan ketua-ketua bahagian terhadap kepemimpinan bekas Menteri Besar Johor tersebut.
Menurutnya, jawatan tersebut seharusnya disandang oleh mana-mana individu daripada 26 ketua bahagian yang ada di Johor.
“Sidang akhbar ini bukan untuk membuka pekung atau bercerita keburukan mana-mana pihak, cuma ini gesaan daripada kami ketua-ketua bahagian Bersatu Johor agar kepimpinan negeri ditukarkan.
“Ini kerana selain kehilangan kepercayaan terhadap Dr. Sahruddin, kepimpinan beliau turut dipertikaikan. Ini demi perpaduan dan imej Bersatu Johor kepada ahli-ahlinya dan penyokong,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Selain Bersatu Pontian, sidang akhbar tersebut turut dihadiri Ketua Bahagian Bersatu dari Johor Bahru; Pontian, Tanjung Piai, Pulai, Pengerang, Parit Sulong, Ledang dan Labis.
Tambah Isa, perkara tersebut telah disuarakan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga memaksa mereka membuat sidang akhbar.
“Apa yang kami lakukan ini berisiko, jika kami hanya fikir menjadi calon dalam pilihan raya, mungkin kami akan berdiam diri. Namun kami memilih bersuara untuk kebaikan parti.
“Kami berharap akan ada transisi kepimpinan negeri sebelum pilihan raya, sekiranya tiada kami akan mengambil tindakan bersesuaian selanjutnya,” ujarnya.
Sementara itu, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon meminta supaya kepimpinan tertinggi Bersatu agar tidak mengabaikan suara ketua-ketua bahagian terbabit. – UTUSAN










