Zulkifli mahu bawa imej Islam rahmah, inklusif, raikan kepelbagaian

Zulkifli mahu bawa imej Islam rahmah, inklusif, raikan kepelbagaian

ZULKIFLI Hassan bersama Marhamah Rosli mengimbas jari di perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas di Kompleks Islam Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berhasrat membawa imej Islam yang bersifat rahmah, inklusif, damai dan sederhana, selain meraikan kepelbagaian umat manusia seiring aspirasi pembangunan negara yang berkemajuan.

Beliau berkata, pendekatan Islam yang ingin diketengahkan ialah Islam yang berpaksikan maqasid syariah dan wasatiyyah (kesederhanaan), sekali gus menampilkan wajah agama indah serta membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

“Islam yang kita mahu tonjolkan adalah Islam yang rahmah, membawa kerahmatan bukan hanya kepada orang Islam tetapi kepada semua, lil ‘alamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum mengetik kad perakam waktu bersama Timbalannya, Marhamah Rosli sebagai tanda memulakan tugas hari ini.

Menurut Zulkifli, Yang di-Pertuan Agong turut menitipkan pesanan agar amanah yang dipikul dilaksanakan sebaik mungkin demi kepentingan negara.

Katanya, beliau berharap agar agar kepimpinannya mampu membawa anjakan lebih baik dalam memperkasa syiar Islam di Malaysia.

Mengulas fokus awal pentadbirannya, beliau menegaskan, hal ehwal agama mempunyai peranan yang sangat signifikan dalam masyarakat serta pembangunan negara.

Justeru, katanya, pendekatan yang dibawa perlu bersifat menyeluruh dan menyatukan.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, Malaysia berada pada landasan kukuh dalam industri halal apabila diiktiraf sebagai antara negara terbaik di dunia, termasuk pengiktirafan terhadap lebih 92 badan halal antarabangsa dari 47 negara.

“Namun kita sudah mempunyai pelan rangka yang jelas untuk memastikan Malaysia terus ke hadapan dan kekal sebagai peneraju industri halal di peringkat global,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri serta barisan kepimpinan negara atas kepercayaan yang diberikan untuk memimpin hal ehwal agama.

Pada masa sama, beliau menegaskan amanah tersebut akan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, ketulusan serta semangat kerja berpasukan bersama semua agensi berkaitan.

“Kita mahu membina pasukan terbaik berteraskan keharmonian, perpaduan serta kesatuan hati dan minda dalam mengurus dan memajukan hal ehwal agama di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN