Wanita ludah, tunjuk isyarat lucah kepada polis ditahan

Wanita ludah, tunjuk isyarat lucah kepada polis ditahan

TANGKAP layar yang tular di media sosial memaparkan seorang wanita dipercayai kurang siuman bertindak agresif terhadap anggota polis dalam kejadian di Mergong, Alor Setar Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menahan seorang wanita berusia 34 tahun dipercayai bertindak agresif terhadap anggota polis serta mencetuskan kekecohan awam dalam kejadian di Mergong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian pukul 1.11 petang itu, suspek dikatakan menumbuk seorang pekerja di sebuah syarikat di kawasan itu sebelum anggota polis dikerah ke lokasi untuk mengawal keadaan.

”Setiba di lokasi, anggota polis mendapati suspek sedang membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam. Polis cuba menenangkan keadaan dengan memujuk suspek supaya memberikan kerjasama.

“Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun serta membuat isyarat lucah dengan menunjukkan jari tengah ke arah salah seorang anggota polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek turut membaling kad pengenalannya ke arah anggota polis berkenaan, selain meludah ke arah anggota tersebut sebanyak dua kali serta meludah ke arah beberapa individu lain yang berada di lokasi kejadian.

“Wanita itu juga mengeluarkan kata-kata menghina agama Islam dan kejadian tersebut dirakam oleh orang awam sebelum video berkenaan tular di aplikasi TikTok.

“Suspek ditahan pada pukul 2.30 petang tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar, esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam semasa menjalankan tugas, Seksyen 298 kerana mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan penganut agama serta Seksyen 509 kerana mengaibkan kehormatan seseorang melalui perkataan atau isyarat tidak senonoh.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN