USM jadi IPT pertama terima RCMS daripada CICM

USM jadi IPT pertama terima RCMS daripada CICM

WAN Ahmad Jaafar Wan Yahaya (tengah) bersama Paul R. Ellis (dua dari kanan) pada majlis penyerahan pensijilan RCMS di USM, George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Universiti Sains Malaysia (USM) muncul sebagai institut pengajian tinggi (IPT) pertama di negara ini yang menerima pensijilan Responsible Care Management System (RCMS) daripada Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM).

Timbalan Pengerusi CICM, Paul R. Ellis berkata, pengiktirafan itu membuktikan tahap komitmen serta dedikasi universiti tersebut dalam meningkatkan aspek kesihatan, keselamatan, alam sekitar dan sekuriti (HSES) dalam tadbir urus mereka.

“Apabila memiliki tahap pensijilan seperti RCMS, USM boleh dijadikan penanda aras oleh IPT lain dalam melakukan penerapan amalan ‘Responsible Care’ (RC) seperti yang mereka laksanakan ketika ini.

“Dengan pencapaian ini juga, saya melihat perlu ada satu langkah penting untuk menyelaras bidang akademik agar ia selari dengan piawaian industri bagi melancarkan urusan tadbir urus HSES pada masa depan,” katanya pada majlis penyerahan sijil berkenaan, hari ini.

Pada majlis itu, USM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) universiti terbabit iaitu Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya.

Pensijilan RCMS merupakan satu standard pengurusan global yang direka khas untuk industri kimia bagi meningkatkan prestasi dalam aspek HSES.

Terdahulu iaitu pada Ogos tahun lepas, USM telah menandatangani satu memorandum persefahaman dengan CICM sekali gus menjadi IPT pertama di negara ini yang menerima pakai RC dalam tadbir urus mereka.

Sementara itu, Wan Ahmad Jaafar berkata, melalui program RC, pihak universiti telah memberi tumpuan dan keutamaan terhadap pelaksanaan empat kod dalam kampus iaitu kod Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (EHS), Kesedaran Komuniti dan Tindak Balas Kecemasan (CAER), Perlindungan Alam Sekitar (EP) dan Keselamatan Proses (PS).

Katanya, empat pusat tanggungjawab (PTJ) telah dipilih untuk menjalankan program ini iaitu di Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) dan Pusat Pengajian Sains Kimia di kampus induk, INFORMM di Kampus Kesihatan (Kelantan) dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal.

“Bagi tahun 2026 pula, empat lagi PTJ akan menyambung usaha program RCMS ini iaitu di Pusat Racun Negara, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam.

“Dalam hal ini, USM turut berharap agar dalam tempoh lima hingga ke 10 tahun lagi, majoriti PTJ di universiti ini akan dapat melaksanakan RCMS secara menyeluruh sekali gus menyumbang kepada penarafan kelestarian SDG (Matlamat Pembangunan Mampan) universiti,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN