PETALING JAYA : Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyokong penuh pembentangan bacaan kedua Rang Undang-Undang bagi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) di Dewan Rakyat, semalam.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, langkah itu menandakan fasa baharu dalam usaha kerajaan memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara agar lebih menyeluruh, inklusif dan selari dengan keperluan pasaran buruh masa kini.
Beliau berkata, pindaan itu akan memperluaskan liputan di bawah Akta 4 bagi memperkenalkan Skim Lindung 24/7 di Bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), iaitu skim perlindungan kemalangan menyeluruh tanpa had waktu bekerja.
“Dengan perlindungan sepanjang masa, skim ini dijangka memanfaatkan lebih 9.6 juta pencarum aktif termasuk pekerja asing,
sekali gus menyelesaikan isu ribuan tuntutan kemalangan yang tidak layak sebelum ini kerana dianggap berlaku di luar waktu kerja.
“UNI-MLC menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim kerana berani mengetengahkan pindaan Akta 800 bagi memperkukuhkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan menambah baik faedah
kepada pencarum yang kehilangan pekerjaan serta meningkatkan keberkesanan Perkeso dalam program penempatan pekerjaan semula,” katanya.
Beliau berkata, reformasi itu bertujuan memastikan pekerja yang hilang pekerjaan menerima bantuan pendapatan dan latihan
yang lebih mampan, sambil menyokong kelancaran mobiliti tenaga kerja.
“Ini juga merupakan satu lagi hadiah kepada pekerja di Malaysia menjelang 2026,” katanya.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 yang akan memperluas skim perlindungan keselamatan sosial kepada semua pekerja formal dengan liputan menyeluruh selama 24 jam sehari dan tidak terhad kepada waktu bekerja sahaja.
Steven berkata, langkah itu akan dilaksanakan melalui pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau Lindung 24/7 yang merupakan inisiatif terbaharu di bawah Lindung Pekerja oleh Perkeso.
Pekerja formal akan menerima pelbagai faedah termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Faedah Pemulihan dan Faedah Pendidikan.










