SHAH ALAM: Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Kewartawanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam mahu melahirkan wartawan berjiwa rakyat yang bukan sekadar mahir menulis berita, tetapi peka terhadap denyut nadi masyarakat dan berani memperjuangkan suara golongan yang sering terpinggir.
Hasrat itu dizahirkan menerusi penganjuran e-Kolokium Kewartawanan ke-52 oleh FKPM UiTM Shah Alam yang menumpukan kewartawanan komuniti sebagai teras pembentukan wartawan masa hadapan.
Mengangkat tema “Lensa Kewartawanan: Kisah-Kisah Komuniti yang Terpinggir”, kolokium tersebut memberi penekanan kepada laporan berunsur kemanusiaan, kisah rakyat biasa serta realiti sosial yang jarang mendapat perhatian media arus perdana.
Dekan FKPM, Profesor Madya Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman berkata, program ini bukan sahaja menghubungkan wacana ilmiah dengan keperluan industri, tetapi turut mencerminkan nilai teras kewartawanan.
“e-Kolokium ini berfungsi sebagai platform untuk pelajar tahun akhir kami membentangkan dan meraikan hasil kerja akademik mereka. Ia juga merupakan ruang di mana wacana ilmiah bertemu dengan keperluan industri.
“Detik ini bukan sahaja menandakan tamatnya perjalanan akademik mereka, tetapi permulaan kepada sumbangan profesional mereka dalam bidang kewartawanan,” katanya.
Dalam pada itu, Wartawan Multimedia Media Prima Berhad, Fareez Azman berkata, wartawan merupakan mata dan telinga masyarakat, satu amanah besar yang mendorong kita untuk terus kekal dalam industri ini.
Katanya, minat yang mendalam sangat penting kerana untuk menjadi wartawan yang baik, semangat dan kesungguhan terhadap bidang ini adalah kunci utama.
“Apabila kita masuk ke tempat yang lebih mendalam, setiap perkara membawa kepada kisah yang tidak disuarakan yang lebih besar.
“Rakyat Malaysia, khususnya di kawasan pedalaman, memiliki kisah yang mencabar wartawan untuk mengubah sesuatu yang tidak diketahui kepada diketahui dengan matlamat membantu masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengarang Sinar Harian, Junhairi Alyasa berkata, untuk menentukan keutamaan sesuatu berita, elemen nilai kemanusiaan perlu diberi perhatian tinggi, diikuti dengan berita yang memberi impak kepada masyarakat, dan akhirnya berita berkaitan isu masyarakat.
“Seorang wartawan mesti menjaga integriti dengan mematuhi garis panduan penulisan yang ditetapkan, termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Kanak-kanak, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Akta Fitnah.
“Wartawan perlu banyak membaca serta sentiasa peka dan memahami sesuatu isu semasa. Asas kewartawanan juga perlu kukuh antaranya memahami sudut (angle) berita, gaya penulisan mengikut penerbitan (house style), serta memiliki pengetahuan am yang luas sebelum menulis sesuatu laporan.
“Wartawan juga perlu membuat kajian terlebih dahulu sebelum menulis sesuatu berita. Semua ini akan sangat membantu dalam menghasilkan laporan yang tepat dan berkualiti,” katanya. – UTUSAN










