Tiga ADUN digugur keahlian tidak khianati Pas

Tiga ADUN digugur keahlian tidak khianati Pas

AHMAD ADNAN FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dewan Ulama Pas negeri menyifatkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang digugurkan keahlian parti ekoran tindakan menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar tidak mengkhianati parti.

Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil berkata, kesemua pemimpin berkenaan termasuk Mohd. Shukri sendiri adalah mereka yang cukup setia di dalam perjuangan Pas.

Katanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Datuk Seri Shahidan Kassim juga tidak terlibat dalam kemelut tersebut.

“Saya kenal Cikgu Shukri (Mohd. Shukri). Saya juga kenal YB (Yang Berhormat) Saad Seman (Chuping), Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji) dan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong). Mereka semua rakan-rakan ini setia dalam Pas.

“Tiada siapa dari mereka yang mengkhianati parti, hanya ada pihak gagal memainkan peranan sepatutnya sebelum ini menjadi kemelut seperti sekarang,” katanya di sini semalam.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan sebelum ini mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut terhenti keahlian Pas.

Ia susulan tindakan tiga ADUN Pas tersebut bersama lima yang lain dari Bersatu yang didakwa menyerahkan akuan bersumpah (SD) menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri.

Mohd. Shukri kemudian mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar dengan surat peletakan jawatan tersebut telah dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Ahmad Adnan berkata, biar pimpinan dan mereka yang terlibat menyelesaikan kemelut tersebut dengan damai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN