Israel isytihar Tebing Barat harta negara - Utusan Malaysia

Israel isytihar Tebing Barat harta negara

SEORANG lelaki Palestin dari kampung Burqa berjalan melepasi bendera Israel yang dipacak oleh pendatang Yahudi di utara bandar Nablus di Tebing Barat.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Kerajaan Israel telah meluluskan rancangan untuk menuntut kawasan besar di Tebing Barat yang diduduki sebagai harta negara jika penduduk Palestin tidak dapat membuktikan pemilikan sehingga mencetuskan kemarahan serantau dan tuduhan pengambilan tanah secara de-facto.

Menurut saluran televisyen Kan kelmarin, cadangan itu dikemukakan oleh Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich; Menteri Kehakiman Yariv Levin dan Menteri Pertahanan, Israel Katz.

Smotrich berkata, langkah itu adalah kesinambungan daripada revolusi penempatan untuk mengawal semua tanah Yahudi, manakala Levin menyifatkannya sebagai ekspresi komitmen kerajaan Israel untuk memperkukuh cengkaman ke atas semua bahagian tanahnya.

Keputusan ini membuka jalan bagi sambungan proses pendaftaran hak milik tanah, yang telah dibekukan sejak pendudukan Tebing Barat oleh Israel pada 1967.

Ini bermakna apabila Israel memulakan proses pendaftaran tanah untuk sesuatu kawasan, sesiapa yang mendakwa mempunyai hak ke atas tanah itu mesti mengemukakan dokumen yang membuktikan pemilikan. 

TANAH

Namun, selepas beberapa dekad diduduki Israel, ramai rakyat Palestin sukar menunjukkan dokumen pemilikan tanah yang diterima Israel. Akibatnya, penduduk Palestrin mungkin kehilangan hak terhadap tanah mereka

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengecam keputusan itu dalam satu kenyataan, menyifatkannya sebagai eskalasi serius dan pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa, yang sama dengan pengambilan tanah secara de-facto.

Ia menggesa komuniti antarabangsa, terutama Amerika Syarikat (AS) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  untuk campur tangan segera.

Hamas juga mengecam tindakan Israel itu, menyifatkannya sebagai percubaan mencuri di Tebing Barat yang diduduki Israel. 

Langkah ini akan dilaksanakan di kawasan dikenali sebagai  Kawasan C di Tebing Barat yang diduduki Israel.. 

Lokasi itu adalah salah satu daripada tiga kawasan Tebing Barat yang ditetapkan melalui Perjanjian Oslo pada 1990-an dan berada di bawah kawalan ketenteraan penuh Israel.

Dianggarkan lebih 300,000 rakyat Palestin tinggal di kawasan tersebut, dengan ramai lagi bergantung pada tanah pertanian dan padang ragut di kawasan sekitarnya. 

Kebanyakan tanah Palestin di kawasan itu tidak didaftarkan secara rasmi kerana proses undang-undang yang panjang dan keperluan dokumen lama yang mungkin hilang atau musnah akibat perang serta pendudukan Israel.

Israel kini boleh mencabar pemilikan tanah yang sebelum ini tidak dapat diakses oleh rakyat Palestin.

Kumpulan anti-penempatan Israel, Peace Now berkata, proses ini kemungkinan besar melibatkan proses rampasan tanah mega daripada Palestin. 

 “Langkah ini sangat dramatik dan membolehkan negara menguasai hampir keseluruhan Kawasan C.

“Palestin akan dipaksa membuktikan hak milik dengan cara yang mustahil mereka lakukan. Israel mungkin mengambil alih 83 peratus Kawasan C, iaitu sekitar separuh daripada Tebing Barat,” kata Pengarah Peace Now, Hagit Ofran.

RAMPAS

Proses pendaftaran tanah boleh bermula seawal tahun ini. Pakar menegaskan langkah itu menyalahi undang-undang antarabangsa, yang menyatakan kuasa pendudukan tidak boleh merampas atau menempatkan tanah di wilayah yang diduduki.

Penganalisis politik di Tebing Barat yang diduduki, Xavier Abu Eid menyifatkan langkah ini sebagai rampasan de facto wilayah Palestin. 

“Bercakap dari Ramallah kepada Al Jazeera, beliau berkata, Israel sedang menyembunyikan peluasan tanah yang diduduki di sebalik langkah birokrasi.

“Ini bukan sekadar langkah ke arah rampasan tanah secara paksa. Kita sedang menyaksikan pengambilan tanah dan mengabungkkannya serta menjadi kan sebahagian daripada Israel ketika ini.

Lebih  700,000 rakyat Israel tinggal di Tebing Barat yang diduduki dan Baitulmaqdis Timur, wilayah yang ditawan oleh rejim Zionis pada tahun 1967 daripada Jordan dan yang dituntut oleh rakyat Palestin untuk sebuah negara mereka pada masa depan.

Komuniti antarabangsa secara meluas menganggap pembinaan penempatan Israel di kawasan-kawasan ini sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan penghalang kepada keamanan.

Mesir, Qatar dan Jordan mengkritik langkah itu sebagai tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Mesir menyifatkannya sebagai eskalasi berbahaya yang bertujuan mengukuhkan kawalan Israel ke atas wilayah Palestin yang diduduki. – AGENSI/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN