PETALING JAYA: Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) menyasarkan untuk menyokong antara 20 hingga 30 projek atau syarikat teknologi di bawah Fasiliti Peralihan Tenaga Nasional (NETF) bagi tempoh 2025 hingga 2026, bergantung kepada saiz pembiayaan dan keperluan pasaran semasa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Fauzi berkata, MDV telah lama menjadi pemacu utama pembiayaan teknologi hijau di Malaysia menerusi Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) serta pelbagai mekanisme lain yang memudahkan syarikat teknologi dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan pembiayaan berpatutan.
“NETF ialah inisiatif pembiayaan yang diperkenalkan di bawah Bajet 2025 sebagai komponen utama Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
“Objektifnya adalah untuk memudah cara pembiayaan projek yang menyokong peralihan tenaga, selaras dengan komitmen Malaysia mencapai sasaran rendah karbon dan pembangunan mampan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebagai salah satu agensi pelaksana NETF, MDV bertanggungjawab menguruskan peruntukan sehingga RM200 juta yang diperuntukkan di bawah fasiliti tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi dana NETF, MDV menyediakan insentif pembiayaan seperti rebat, subsidi faedah dan penambahbaikan kredit bagi meningkatkan kebolehbankan projek serta memperluaskan akses kepada pembiayaan komersial, di samping sumber dana NETF.
“NETF meliputi enam ‘Energy Transition Levers’ utama iaitu tenaga boleh baharu (TBB), kecekapan tenaga, biotenaga termasuk biogas dan biojisim, hidrogen, mobiliti hijau merangkumi kenderaan ringan dan berat serta maritim, selain penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Sehingga Disember 2025, pembiayaan melebihi RM293 juta telah diluluskan kepada 13 syarikat berasaskan teknologi yang melaksanakan projek peralihan tenaga sejajar dengan agenda NETF. Daripada nilai itu, insentif bersasar berjumlah RM73.14 juta ditawarkan bagi mengurangkan kos pembiayaan serta meningkatkan daya tarikan projek kepada pelabur,” katanya.
Daripada 13 syarikat tersebut, sembilan memberi tumpuan kepada projek solar dalam segmen TBB, dua dalam bidang pengangkutan hijau, satu dalam kecekapan tenaga dan satu lagi dalam biotenaga.
Menurut Rizal, NETF bukan sekadar menyediakan pembiayaan, sebaliknya berperanan sebagai pemudah cara strategik bagi memperbaiki kebolehbankan projek melalui insentif seperti rebat dan penambahbaikan kredit.
“Pendekatan ini membantu menarik pelaburan swasta yang lebih besar ke arah projek tenaga bersih berimpak tinggi, di samping mempercepat komersialisasi teknologi baharu atau pra-komersial serta mengurangkan jurang pembiayaan bagi teknologi lebih maju,” ujarnya.
Mengulas mengenai tumpuan industri hijau bagi 2026, beliau berkata, fokus projek seterusnya merangkumi tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, bioenergy, hydrogen, CCUS serta mobiliti hijau selari dengan NETR dan peluang dekarbonisasi sektor industri.
Katanya, pelaksanaan NETF mencerminkan dedikasi berterusan MDV dalam mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon sejajar dengan sasaran pelepasan sifar bersih.
“Usaha ini juga memperkukuh kesinambungan sektor tenaga bersih dan teknologi hijau tempatan, selain menggalakkan inovasi teknologi serta pembangunan ekosistem pelaburan hijau yang lebih mampan,” katanya.
Sehubungan itu, MDV mengalu-alukan penyertaan syarikat dalam sektor peralihan tenaga untuk memanfaatkan fasiliti NETF bagi merealisasikan projek berimpak tinggi dan menyumbang kepada agenda nyah karbon negara. – UTUSAN










