‘Tak guna nama sesiapa untuk berlakon’ - Utusan Malaysia

‘Tak guna nama sesiapa untuk berlakon’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERULANG kali pelakon, Syazwan Razak bertanya kepada sutradara, Kamal Husni tentang pemilihannya sebagai hero drama BF Green Flag terbitan Astra Entertainment.

Bukan tidak yakin dengan pilihan produksi, cuma pelakon berusia 26 tahun itu benar-benar terkejut apabila dirinya, yang belum cukup terkenal, diberi peluang membawa peranan utama.

Keadaan itu bertentangan dengan kebanyakan penerbit yang selalu meletakkan pelakon popular untuk menarik penonton kepada drama atau filem terbitan mereka.

Pihak Astra Entertainment bagaimanapun meyakini yang Syazwan dan pasangannya dalam drama itu iaitu Athalia mampu menarik penonton khususnya yang berumur antara 18 hingga 25 untuk menonton BF Green Flag.

“Ini adalah lakonan pertama saya. Sampai sekarang ini saya masih sukar percaya ada pihak yang yakin saya boleh membawakan watak utama.

“Saya ini pelakon baharu, belum cukup dikenali. Nama belum cukup popular untuk menarik penonton.

“Tapi, pihak produksi merasakan saya sesuai membawakan watak Alfa dalam drama ini. Saya anggap peluang ini sebagai rezeki dari Allah,” kata Syazwan.

Syazwan menolak jika ada yang berpandangan pemilihannya sebagai hero drama 20 episod itu disebabkan statusnya sebagai adik kepada pelakon terkenal, Syafiq Kyle. Dalam erti kata lain, ibarat menumpang populariti adik beradik sendiri.

“Saya tidak tumpang populariti sesiapa. Kalau pun saya mahu menumpang populariti Syafiq, sudah lama saya berbuat demikian, sebelum saya melangkah ke dalam dunia seni lagi.

“Dan kalau pun saya mahu tumpang popularitinya, dia bukan orang lain, abang kandung saya juga.

“Tapi tidak. Saya pegang pesanan Syafiq yang mengingatkan kalau saya mahu bertahan lama dalam dunia lakonan, saya harus bermula dari bawah. Bukan menggunakan nama orang lain sebagai batu loncatan,” katanya lagi.

SYUKURI SETIAP PELUANG
Anak jati Kuala Lumpur ini tidak menyangka cubaan mengikut jejak langkah abangnya dalam bidang lakonan, membuahkan hasil.

“Saya tak sangka, satu per satu tawaran lakonan saya terima. Selain drama itu, saya juga ditawarkan membintangi drama Impiana: Karma yang ditayangkan di Astro Ria.

“Sebenarnya, tawaran sebagai penyampai segmen Hujung Minggu Era pun sudah cukup menggembirakan saya. Kini jadi pelakon pula, memang saya tak sangka.

“Saya bersyukur dengan peluang yang saya terima. Saya tak sabar untuk melihat apa lagi rezeki saya dalam bidang ini selepas ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN