KUALA LUMPUR: Stigma sosial dan diri menyebabkan lelaki menyembunyikan tingkah laku seksual dan tidak menjalani saringan kesihatan menjadi punca peningkatan jangkitan virus kurang daya tahan manusia (HIV).
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Aishah Abbas berkata, kecenderungan tidak menjalani ujian HIV menyebabkan mereka mempunyai beban virus lebih tinggi dan secara tidak langsung meningkatkan risiko menjangkiti pasangan termasuk isteri.
“Faktor sosial seperti tekanan rakan sebaya dan amalan penggunaan hahan seperti methamphetamine yang digunakan dalam interaksi seksual meningkatkan hubungan tanpa perlindungan.
“Apabila banyak jangkitan HIV berlaku dalam kalangan lelaki, wanita menjadi mangsa tanpa disedari.
“Kajian menunjukkan, lelaki biseksual yang menyembunyikan tingkah laku mereka mempunyai kadar HIV dan sifilis lebih tinggi dan jangkitan ini berpindah kepada pasangan wanita yang tidak tahu mereka terdedah kepada risiko,” katanya di sini semalam.
Isnin lalu, akhbar ini melaporkan Malaysia merekodkan sebanyak 3,230 kes baharu HIV pada 2023 dengan hampir 90 peratus jangkitan melibatkan golongan lelaki, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius terhadap corak penularan penyakit itu di negara ini.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 62 peratus kes dikenal pasti melibatkan lelaki yang menjalinkan hubungan sejenis, angka yang disifatkan terlalu tinggi berbanding peratus kumpulan itu dalam komposisi populasi negara.
Dr. Aishah berkata, wanita pula tidak diberi peluang melindungi diri kerana pasangan mereka tidak berterus-terang mengenai tingkah laku sebenar mereka dan hingga mewujudkan jangkitan secara senyap.
“Sekiranya wanita berkenaan hamil dan dijangkiti tanpa sedar, risiko penularan kepada bayi boleh meningkat sehingga 15 hingga 45 peratus tanpa rawatan.
“Takut identiti atau orientasi mereka diketahui, takut dilabel turut menyebabkan lelaki mengelak daripada hadir ke klinik menjalani ujian HIV AIDS kerana takut dilihat orang dan menyembunyikan tingkah laku seksual mereka sehingga bertahun-tahun, sedangkan fakta sebenar rawatan HIV hari ini sangat berbeza,” katanya.
Katanya, orang ramai perlu faham bahawa belum ada rawatan boleh menghapuskan virus HIV, bagaimanapun terdapat satu ubat sangat berkesan menurunkan virus ke paras tidak dapat dikesan sehingga seseorang boleh hidup sihat seperti biasa.
“Perkhidmatan saringan kini mudah dan sulit bagi mengurangkan stigma, saringan HIV kini boleh dibuat di semua klinik kesihatan kerajaan,” katanya.










