ST Rosyam Mart buka cawangan ke-9 di Jakel Square - Utusan Malaysia

ST Rosyam Mart buka cawangan ke-9 di Jakel Square

DATUK Rosyam Nor (empat dari kiri) bersama Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Bidin (empat dari kanan) dan pengurusan tertinggi Sri Ternak semasa pembukaan ST Rosyam Mart di Jakel Square, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Sri Ternak terus mengukuhkan kedudukan sebagai pasar raya borong halal 24 jam apabila merasmikan pembukaan cawangan terbaharu ST Rosyam Mart di Jakel Square. 

Pembukaan berkenaan menandakan cawangan kesembilan ST Rosyam Mart di seluruh negara dan yang kedua di ibu negara, sekali gus memperluas akses orang ramai terhadap barangan runcit dan keperluan harian pada harga borong sepanjang masa.

Cawangan berkeluasan lebih 40,000 kaki persegi itu beroperasi 24 jam sehari dan menawarkan lebih 40,000 jenis produk merangkumi barangan runcit, keperluan rumah, makanan segar serta barangan pukal.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho Cheng Hann berkata, pembukaan cawangan berkenaan selari dengan matlamat syarikat untuk membantu pengguna menjimatkan kos sara hidup, khususnya di kawasan bandar.

“Lokasi strategik di pusat bandar membolehkan kami menyediakan keperluan harian halal dan dipercayai pada harga mampu milik, bukan sahaja kepada penduduk tempatan malah pelancong,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata, cawangan itu turut menjadi yang pertama memperkenalkan ‘Malaysia Selection’, iaitu segmen khas yang menampilkan produk tempatan seperti snek, minuman, hadiah dan cenderamata buatan Malaysia.

Menurutnya, ST Rosyam Mart Jakel Square dilengkapi kemudahan moden termasuk laluan membeli-belah yang luas, zon barangan runcit pukal, kaunter layan diri, kafe serta kaunter juruwang mencukupi bagi memastikan keselesaan pelanggan.

Dalam pada itu, Pengarah ST Rosyam Mart Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor berkata, pembukaan cawangan berkenaan bukan sekadar pengembangan perniagaan, sebaliknya mencerminkan komitmen syarikat dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Kami memahami cabaran kos sara hidup di Kuala Lumpur dan komited menjadikan keperluan harian lebih mudah diakses serta mampu milik untuk semua,” katanya.

Cawangan itu turut memperkenalkan inisiatif ‘Selamatkan Dompet Warga KL’, selain menampilkan ruang Celebrity Corner yang memasarkan pelbagai produk jenama selebriti tempatan.

Majlis peluncuran berkenaan telah dirasmikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Bidin dan turut dihadiri pengurusan Kumpulan Sri Ternak serta rakan niaga. 

ST Rosyam Mart Jakel Square menawarkan pelbagai produk segar termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, daging tempatan dan import, makanan laut segar serta sejuk beku, di samping barangan kering dan keperluan rumah.

Sebagai sebahagian daripada promosi pembukaan, pelbagai aktiviti dan tawaran khas diadakan bermula 17 Disember 2025 hingga 1 Januari 2026 termasuk promosi keahlian, harga istimewa barangan terpilih serta pertandingan berhadiah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN