PETALING JAYA: Azah Aziz tidak terasa hati apabila muncul beberapa individu tidak mengenalinya sewaktu pelakon itu hadir ke sebuah majlis penganugerahan berprestij, baru-baru ini.
Malah Azah, 53, tidak menafikan kejadian itu berlaku kerana solekan tebal yang membuatkan wajahnya kelihatan berbeza malam itu.
“Tak perlu terasa hati atau nak melenting, cuma anggap kejadian itu lucu. Saya tak sangka pula orang tak kenal disebabkan solekan yang membuatkan wajah saya berubah.
“Tambah lagi Saya ini sudah lama tak berlakon, tiba-tiba tercalon pula untuk salah satu kategori dalam anugerah yang besar.
“Walaupun kejadian sedemikian pertama kali menimpa saya, tak adalah saya nak terasa hati,” katanya.
Azah menerusi perkongsian di platform Threads baru-baru ini berkongsi pengalaman berdepan pelbagai pertanyaan petugas majlis berkenaan yang tidak mengenalinya gara-gara solekan tebal.
Azah dalam pada itu bersyukur kerana berpeluang bergelar antara 5 pencalonan dalam salah satu kategori majlis tersebut.
“Saya tak sangka dicalonkan. Iyalah, industri seni kita sekarang ini sudah berbeza, ramai muka baharu. Tapi saya masih berpeluang.
“Apa pun, kedatangan saya ke majlis itu, selain sebagai calon bertanding, juga untuk memberi sokongan dan memeriahkan acara,” jawabnya. – UTUSAN










