PETALING JAYA: Peneraju industri tenaga bersih Malaysia, Solarvest Holdings Berhad menjadi antara syarikat pertama menerbitkan kertas putih komprehensif mengenai Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang dipacu kecerdasan buatan (AI), menyokong agenda kerajaan dalam memajukan teknologi tenaga baharu.
Menurut kenyataannya, kertas putih itu menjelaskan bagaimana BESS membantu perniagaan dan isi rumah mengoptimumkan kos elektrik, memastikan kebolehpercayaan tenaga dan mempercepat peralihan ke masa depan yang mampan.
Katanya, di bawah Tempoh Tarif Baharu 4 (RP4) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), perniagaan dikenakan caj 162 peratus lebih tinggi untuk penggunaan elektrik puncak mereka, dikenali sebagai Maximum Demand (MD), meningkat daripada RM37.00/ kilowatt (kW) di RP3 kepada RM97.06/kW di RP4.
Menurutnya, kenaikan ini bermakna tambahan RM60,000 sebulan bagi setiap 1,000 kW MD semasa waktu puncak.
“Penyelesaian BESS Solarvest ‘melindungi’ perniagaan daripada lonjakan kos ini dengan menyimpan tenaga semasa tempoh permintaan rendah dan melepaskannya semasa waktu puncak.
“Kajian kes di Malaysia menunjukkan pengurangan MD yang berkesan sehingga 65 peratus, dengan pulangan pelaburan (ROI) dalam tempoh hanya tiga tahun,” katanya.
Solarvest berkata, pemilik rumah juga boleh menggabungkan sistem solar fotovoltaik (PV) dengan BESS melalui program Solar ATAP, membolehkan penyimpanan tenaga solar berlebihan untuk kegunaan malam dan penjimatan bil elektrik yang lebih besar.
Tambahnya, manfaat utama BESS Solarvest termasuk menurunkan bil elektrik sehingga 65 peratus, menyediakan kuasa sandaran semasa gangguan grid, model pembiayaan Zero Capex (sifar perbelanjaan modal), bayar yuran bulanan lebih rendah daripada penjimatan dijana serta menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui dan sasaran kelestarian.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Datuk Davis Chong Chun Shiong berkata, kecekapan tenaga dan kelestarian bukan lagi pilihan, tetapi ia menjadi keperluan bagi perniagaan dan isi rumah.
“BESS kami membolehkan pengguna mengawal penggunaan tenaga, mengurangkan kos, dan meningkatkan kebolehpercayaan.
“Dengan model Zero CAPEX yang fleksibel, organisasi boleh mengguna teknologi ini tanpa kos awal, hanya membayar yuran perkhidmatan yang lebih rendah daripada penjimatan yang dijana. Pendekatan ini menjadikan tenaga bersih praktikal dan menguntungkan dari segi kewangan,” ujarnya.
Tambahnya, kertas putih ini menggariskan strategi praktikal untuk menggunakan BESS bagi menjimatkan elektrik, mengekalkan kuasa yang boleh dipercayai dan menyumbang kepada sasaran tenaga bersih Malaysia.
“Pendekatan ini menjadikan tenaga bukan sekadar kos, tetapi sumber yang diurus untuk mendorong kecekapan dan kelestarian,” katanya. – UTUSAN










