Sembilan keracunan gas semasa selenggara tangki

Sembilan keracunan gas semasa selenggara tangki

ANGGOTA bomba diberi taklimat sebelum melakukan kerja-kerja menyah sisa gas toksik di sebuah kilang memproses makanan haiwan di  Kerteh Biopolymer Park (KBP), Kemaman, Terengganu.  - IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kerja-kerja penyelenggaraan tangki di sebuah kilang memproses makanan haiwan di kawasan Kerteh Biopolymer Park (KBP), di sini, petang semalam bertukar kecoh apabila sembilan pekerja kontrak  mengalami sesak nafas akibat terdedah dengan gas bertoksik.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Rohaya Jamil berkata, kejadian kira-kira 6.15 petang itu berlaku ketika kesemua mangsa berusia 23 tahun hingga 40- an yang terdiri daripada pekerja tempatan dan seorang warga Bangladesh melakukan kerja-kerja pembersihan tangki continuous reacter.

Katanya, namun mereka tiba-tiba mengalami gangguan pernafasan ekoran terhidu gas bertoksik dipercayai gas ammonia atau methyl mercaptan. 

“Semua mangsa diselamatkan pekerja kilang itu dan dibawa ke Klinik Kesihatan Paka oleh pengurusan kilang untuk menerima rawatan sebelum enam daripada mangsa  dirujuk ke Hospital Dungun,” katanya.

Rohaya berkata, tiga lagi mangsa dibenarkan pulang manakala enam lagi masih menerima rawatan di hospital. 

Menurutnya, pasukan bomba  melakukan water suppression bagi menurunkan bacaan gas bertoksik itu. 

“Operasi ditamatkan kira-kira pukul 1.05 pagi selepas bacaan kembali kembali normal dan tiada kehadiran gas dikesan di lokasi kejadian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN