PETALING JAYA: Pelaksanaan Seksyen 45F Akta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) tidak menutup mana-mana saluran pengambilan pekerja, sebaliknya memastikan setiap kekosongan kerja dapat dilihat rakyat Malaysia melalui satu platform nasional.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, prinsip utama peraturan itu ialah memastikan jika wujud satu pekerjaan di negara ini, pekerja Malaysia berhak melihat peluang tersebut.
Menurutnya, keterlihatan kekosongan jawatan adalah isu keadilan asas yang perlu diberikan kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang.
Beliau menegaskan bahawa majikan masih bebas menggunakan JobStreet, LinkedIn, agensi pengambilan atau mana-mana platform lain seperti yang biasa dilakukan.
Katanya, Seksyen 45F hanya mewajibkan kekosongan muncul sekurang-kurangnya sekali di MYFutureJobs sebagai platform nasional agar tiada peluang kerja yang tersorok.
MYFutureJobs, jelasnya, telah menanggung beban utama pasaran kerja negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi sumber rujukan utama pencari kerja tempatan.
Pada 2024 sahaja, lebih 200,000 penempatan kerja direkodkan daripada lebih 1.5 juta kekosongan yang diiklankan di platform tersebut.
Sehingga 30 November 2025, kira-kira 200,000 lagi penempatan dicapai hasil daripada lebih 1.3 juta kekosongan yang dilaporkan oleh lebih 170,000 majikan berdaftar.
“Seksyen 45F hanya memastikan kekosongan tidak tersembunyi. Jika ada jawatan, ia mesti muncul sekali di platform ini,” katanya.
Beliau berkata, MYFutureJobs bukan hanya sebuah kewajipan undang-undang, tetapi juga perkhidmatan percuma yang membantu majikan menyaring dan mendapatkan calon dengan lebih mudah.
PERKESO turut menyediakan sokongan tambahan seperti padanan automatik, bantuan pra-saringan dan jemputan ke karnival kerjaya tanpa sebarang kos.
“Kita bukan menekan, tetapi mengemas. Dengan rundingan, moratorium dan peraturan praktikal untuk PKS, langkah ini tidak menjejaskan pasaran,” jelas beliau.
Katanya, pelaksanaan itu akan membantu menyusun semula proses pengambilan dan memberi manfaat kepada majikan yang telus serta pekerja.
Beberapa majikan turut melaporkan pengalaman positif menggunakan platform berkenaan untuk pengambilan pekerja.
APAR Technology memaklumkan bahawa padanan AI baharu MYFutureJobs membantu meningkatkan ketepatan pencarian calon bagi jawatan IT berkemahiran tinggi.
Bank Simpanan Nasional (BSN) pula berkata proses mengaktifkan sistem adalah sangat mudah dan alir kerja platform itu mirip portal pekerjaan komersial.
Parkson Corporation menyatakan bahawa iklan kekosongan boleh dimuat naik dalam beberapa minit dan sistem turut memberikan notifikasi calon berpotensi walaupun mereka tidak memohon.
Abdul Halim berkata, pengalaman nyata majikan-majikan ini membuktikan MYFutureJobs berfungsi sebagai platform telus yang menyokong usaha pengambilan, sambil memastikan pekerja Malaysia tidak terpinggir daripada melihat mana-mana peluang kerja di negara ini. – UTUSAN










