Terpaksa pilih kerja tidak setanding selepas lalui 20 sesi temu duga

Terpaksa pilih kerja tidak setanding selepas lalui 20 sesi temu duga

MUHAMMAD SYAFIQ KHERUDDIN dan SITI AMIRAH GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Memiliki segulung ijazah suatu ketika dahulu dianggap tiket emas ke alam pekerjaan, namun realitinya berbeza buat seorang graduan yang kini memilih pekerjaan tidak setanding demi kelangsungan hidup.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata graduan yang telah melalui puluhan temuduga masih belum memperoleh peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Muhammad Syafiq Kheruddin, 25, yang kini bekerja sebagai penghantar makanan berkata, dia telah menghadiri lebih 20 sesi temuduga, namun masih belum memperoleh pekerjaan tetap dalam bidang berkenaan.

Katanya, ketiadaan pengalaman industri serta pendedahan kepada projek berskala besar sering menjadi alasan penolakan.

“Saya memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan kerana perlu menampung kos sara hidup dan membantu keluarga. Walaupun tidak selari dengan bidang pengajian, sekurang-kurangnya saya ada pendapatan harian untuk meneruskan kehidupan.

“Sekarang ini ijazah sahaja tidak mencukupi. Majikan mahukan kemahiran lebih spesifik seperti Kecerdasan Buatan (AI), pembelajaran mesin dan analitik data. Saya cuba tingkatkan kemahiran melalui kursus dalam talian supaya peluang saya lebih cerah pada masa depan,” katanya.

Situasi hampir sama dialami graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, Siti Amirah Ghazali, 27, yang kini memandu e-hailing sepenuh masa setelah menamatkan pengajian pada 2022 meskipun pada awalnya menyasarkan kerjaya dalam bidang pengurusan atau pemasaran.

Katanya, dia terpaksa berdepan persaingan sengit dalam pasaran kerja apabila kebanyakan syarikat menetapkan syarat pengalaman kerja sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun walaupun bagi jawatan peringkat permulaan.

“Hampir 15 temuduga saya pergi, namun kekurangan pengalaman dan kemahiran teknikal tertentu menjadi punca saya tidak diterima.

“Saya tidak merancang untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing, tetapi sekurang-kurangnya saya tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada keluarga sementara mencari peluang lain. Pendapatan memang tidak tetap, namun ia memberi fleksibiliti untuk saya hadir temuduga.

“Dalam bidang perniagaan sekarang, kemahiran seperti analitik data dan pemasaran digital sangat penting. Majikan mahu calon yang boleh terus menyumbang kepada operasi syarikat, bukan sekadar ada kelulusan akademik,” katanya.

Sementara itu, pekerja kilang, Saatiish Gunaa, 24, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Hertfordshire memilih laluan berbeza daripada bidang pengajian setelah melalui pelbagai cabaran untuk memperoleh pekerjaan tetap.

Menurutnya, pasaran kerja kini lebih melihat kebolehan menyesuaikan diri dan kemahiran praktikal berbanding kelayakan akademik semata-mata.

“Pada peringkat awal memang ada tekanan sosial kerana orang menganggap graduan undang-undang sepatutnya menjadi peguam. Namun saya sedar kepuasan kerjaya lebih penting daripada pengiktirafan masyarakat.

“Bagi saya, pendidikan adalah asas. Dunia pekerjaan hari ini sangat dinamik dan kebolehan untuk berubah serta belajar perkara baharu adalah kunci untuk terus maju,” katanya.

Graduan Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Noor Azuwa Shahina Md Ilias, 28 pula memilih bekerja sebagai pembantu farmasi selepas gagal memperoleh penempatan tetap dalam bidang pendidikan meskipun mempunyai pengalaman praktikal di sekolah.

Katanya, tekanan kos sara hidup serta keperluan kewangan memaksanya menerima pekerjaan tersebut sementara terus mencari peluang yang lebih sesuai dengan kelulusan dan minat.

“Saya ambil masa kira-kira setahun setengah untuk cari kerja. Namun, tiada satu pun tawaran tetap diterima dan sesetengah majikan lebih cenderung mengambil calon berkelulusan lebih rendah bagi menepati bajet gaji.

“Tekanan inflasi dan kos sara hidup memaksa saya menerima pekerjaan ini. Saya pernah menganggur dan ia memberi kesan kepada kesihatan mental serta keyakinan diri.

“Walaupun bidang kerja sekarang berbeza, saya percaya ilmu yang dipelajari di universiti membantu mematangkan diri. Graduan perlu sentiasa menyesuaikan diri dan melengkapkan kemahiran supaya tidak ketinggalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×