Saya tidak layak, tapi Allah Maha Baik - Heliza Helmi - Utusan Malaysia

Saya tidak layak, tapi Allah Maha Baik – Heliza Helmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas 18 tahun bergelar anak seni, pelakon dan penyanyi, Heliza Helmi mengakui dirinya masih belum layak untuk dinobatkan sebagai pemenang Aktres Pembantu Filem Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-37, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Heliza atau Nur Heliza Helmi, 39, menyifatkan kemenangan itu sebagai rezeki dan ketentuan daripada Allah SWT.

“Baru 18 tahun. Allah Maha Baik. Allah yang beri izin. Saya tidak layak, tapi Allah Maha Baik,” tulisnya ringkas menerusi satu hantaran di Threads.

Dalam pada itu, ketika ditemui Utusan Malaysia, Heliza berkata, anugerah yang diraihnya itu bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya dianggap sebagai amanah untuk meneruskan perjuangan membela isu Palestin.

“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk merangkul anugerah ini. Segalanya adalah rezeki daripada Allah. Bagi saya, anugerah ini adalah satu ruang untuk meneruskan perjuangan mengenai isu Palestin di semua platform yang ada.

“Jadi saya merasakan, mudah-mudahan ada sebab dan tanggungjawab yang perlu digalas, khususnya dalam soal dakwah dan ummah,” katanya.

Tambah Heliza, kejayaan tersebut tidak mungkin diraih tanpa sokongan padu peminat yang setia bersamanya sepanjang 18 tahun perjalanan kerjayanya dalam industri seni.

“Ini adalah anugerah untuk semua. Anugerah kepada para pengundi yang terus sumud dan istiqamah meneruskan perjuangan dalam apa jua platform yang Allah kurniakan.

“Terima kasih tidak terhingga. Saya tidak tahu bagaimana hendak membalas jasa baik semua yang terus menyokong dan mendoakan sejak saya mula menyertai industri pada 2007. Bagi saya, doa itu adalah perkara paling penting.

“Sebenarnya perjuangan kita di dunia ini bersifat sementara. Perjuangan yang sebenar adalah untuk akhirat. Mudah-mudahan Allah menerima dan meredai segala yang kita lakukan,” katanya.

Terdahulu, Heliza dinobatkan sebagai pemenang Aktres Pembantu Filem Popular ABP37 menerusi watak Siti dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Kemenangan itu menyaksikan Heliza mengetepikan beberapa nama besar dalam kategori sama termasuk Erra Fazira, Fasha Sandha, Amelia Henderson dan Kiky Hannah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN